Sila Klik Di Sini

AKTIVITI MESTICA

Berikut adalah jadual terkini show dan aktiviti Mestica buat masa ini. Jangan lupa untuk bertemu kami di venue-venue berikut:

  • 9 Mac Juri pertandingan Nasyid Nadwah Islamiah IPMA di Kolej MARA Banting pukul 8.30 malam
  • 10 Mac Majlis penutupan Minggu Penghayatan Islam Kolej Ke-9 Universiti Malaya pukul 9.00 malam
  • 24 Mac Roadshow Anugerah Nasyeed.Com di Village Mall Sungai Petani Kedah pukul 2.00 petang
  • 31 Mac Konsert Malam Kesenian Islam bersama Hijjaz dan Mestica di Kuala Langat pukul 8.30 malam
  • 13 April Malam Anugerah Nasyeed.Com di Dewan Muktamar Pusat Islam, KL pukul 8.30 malam
  • 12 Mei walimatul arus Nur Sofea di Kg Parit Buaya, Muar, Johor

Untuk sebarang tempahan bagi urusan persembahan dan sebagainya boleh lah berhubung dengan wakil kami saudara Razin di talian 016-232 1980 atau email di alamatmestica313@gmail.com

Saturday, October 22, 2011

Selamatkan Akidah Umat

Dengarkan lagu tema Himpunan Sejuta Umat yang dicipta oleh Abang Isman Hijjaz dan lirik oleh Atie & Munsyid.. Rakaman audio dan video klip yang hanya memakan masa 3 hari untuk disiapkan..Terima kasih kepada semua Munsyid yang komited dan memberi kerjasama padu. Dengarkan hadiah kami untuk anda semua.Ayuh kita ke HIMPUN untuk menzahirkan keprihatinan kita!


Wednesday, October 19, 2011

Mestica di Karnival BEST


Khairul mewakili Mestica dalam sidang media Karnival BEST

PUTRAJAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan menganjurkan karnival Buat Elok Saja Tau (BEST) pada 28 hingga 30 Oktober ini untuk memberi contoh kepada para penganjur konsert hiburan di negara ini mengenai tatacara yang harus dipatuhi mengikut ajaran Islam.


Pengarah Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial dan Komuniti Jakim, Saimah Mukhtar berkata, karnival yang akan diadakan di Laman 1Malaysia, Presint 2 di sini itu akan mendedahkan masyarakat mengenai garis panduan yang sepatutnya dipatuhi apabila sesuatu konsert hiburan diadakan.

Melalui karnival tersebut, katanya, Jakim akan mempraktikkan garis panduan mengikut ajaran Islam yang telah diperkenalkan Jakim sejak tahun 2007.

“Matlamat utama kita (Jakim) melalui karnival ini adalah perkongsian ilmu dengan masyarakat.
“Mereka perlu tahu, tidak salah untuk berhibur tetapi biarlah ia dilakukan mengikut cara yang tidak bercanggah dengan hukum agama,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Pelancaran Karnival BEST anjuran Jakim di sini semalam.
- sumber : KOSMO -

Ayuh Kita ke HIMPUN!



EDARAN MEDIA

MUNSYID MALAYSIA SERTAI HIMPUN

Gabungan Penasyid Malaysia atau lebih dikenali dengan MUNSYID Malaysia yang menaungi lebih 60 artis nasyid dari seluruh Malaysia telah mencapai kata sepakat untuk menyokong sepenuhnya sekaligus menyertai Himpunan Sejuta Umat  yang akan diadakan pada 22 Oktober 2011 pukul 2.00 hingga 6.00 petang bertempat di Stadium Shah Alam.

Himpunan Sejuta Umat yang bertemakan “Selamatkan Akidah Umat” dianjurkan secara bersama oleh pelbagai NGO dan orang perseorangan yang mewakili umat Islam di Malaysia. Ia bertujuan untuk menzahirkan keperihatinan dan kesatuan umat Islam  dalam mendepani usaha-usaha pihak tertentu yang berniat jahat untuk memurtadkan umat Islam secara terancang.

MUNSYID Malaysia melihat isu ini melangkaui sempadan latar belakang, umur, taraf sosial mahupun fahaman politik. Namun semua pihak diseru supaya menangani isu ini secara rasional dan tidak terpengaruh dengan sentimen dan emosi. Islam adalah agama yang sangat menitik beratkan keamanan dan keharmonian hubungan sesama manusia sebagaimana yang dicerminkan oleh akhlak Rasulullah SAW.



Ayuh ke HIMPUN bersama kami


Himpunan Sejuta Umat akan diisi dengan ucapan daripada tokoh-tokoh umat Islam tempatan yang akan mengupas dan memberi gambaran yang jelas tentang isu ini. Selain itu, tokoh dari luar negara turut dijemput menyampaikan ucapan sekaligus berkongsi pengalaman umat Islam negara mereka dalam menangani isu murtad. Himpunan ini juga akan diserikan dengan persembahan lagu-lagu berunsur keagamaan dan deklamasi puisi.

Penglibatan MUNSYID Malaysia dalam Himpunan Sejuta Umat bukan sekadar penyeri program melalui persembahan selingan yang diadakan semata-mata. MUNSYID Malaysia komited untuk turut sama mempromosikan himpunan ini melalui saluran media yang ada serta mengembeleng kelab-kelab peminat nasyid yang mempunyai ribuan ahli di seluruh negara untuk turut sama menyertai himpunan ini.

Munsyid Malaysia percaya kumpulan-kumpulan nasyid turut mempunyai pengaruh yang tersendiri sekaligus memberi impak terhadap masyarakat khususnya dalam menerbitkan kesedaran dan rasa prihatin di kalangan umat Islam terhadap isu-isu penting sebegini. Kami turut menyeru semua rakan artis, personaliti tv, penggiat seni dan seluruh umat Islam di Malaysia untuk bersama hadir dan menyokong Himpunan Sejuta Umat.

Thursday, September 22, 2011

Berbuka Puasa Bersama UFM

Sebelum cuti raya tempohari, kami sempat bersama memenuhi jemputan pihak Radio UFM  untuk hadir di Majlis Berbuka Puasa anjuran mereka bertempat di Dewan Annex UiTM Shah Alam. Selain daripada Mestica, ramai juga artis tempatan yang hadir seperti Afad Raihan, Ali XPDC, Danny X-Factor, Hazama dan ramai lagi. Turut diraikan adalah anak-anak yatim daripada rumah kebajikan yang dijemput khas.

Sebahagian warga kerja UFM

Program ini dikhabarkan dijalankan pada setiap tahun dan kali ini mendapat sokongan penuh daripada Kelab Putra 1 Malaysia yang dipimpin oleh Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim. Beliau turut menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim terbabit. Beliau juga turut mengumumkan tentang misi Kelab Putra 1 Malaysia yang bakal berangkat ke Somalia untuk membawa bantuan kemanusiaan kepada rakyat negara itu. Misi inilah yang kemudiaannya ditimpa tragedi apabila seorang daripada ahli rombongan yang juga jurukamera Bernama TV meninggal dunia dalam insiden tembakan di Mogadishu. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat, Al fatihah..

Bergambar bersama rakan artis sebelum pulang

Wednesday, September 21, 2011

Promosi Carta NC di UFM

Inilah konti UFM :)
10 Ogos lepas kami berpeluang untuk ditemubual secara langsung dikonti UFM.. 'Kepulangan' kami ke kampus UiTM Shah Alam mengundang nostalgia lama sewaktu kami sama-sama belajar di sini satu ketika dulu. Kami sebenarnya dalam rangka untuk mempromosikan program Carta NC yang dianjurkan oleh Nasyeed.Com. Alhamdulillah beberapa lagu kami telah dicalonkan dan tersenarai di dalam carta tersebut. Carta NC ni hanya menggunakan platform facebook. Bukan hanya lagu kami tapi hampir semua lagu-lagu hit nasyid ada dalam Carta NC. Untuk mengundi caranya mudah sahaja. Pergi ke page Nasyeed.Com dan tekan butang like dan kemudian gunakan aplikasi Carta NC. Kalau nak senang, tengok je video di bawah. Selamat mengundi!

Monday, August 15, 2011

Mini Konsert Mestica @ Unifest UiTM Penang

At the backstage

Unifest 2011 kali ini membuka peluang kepada kami untuk menjejakkan kaki ke UiTM Pulau Pinang buat kali pertama. Apatah lagi kami dapat memasuki kampus 'baru' UiTM yang belum siap ketika zaman kami masih di kampus. Cuma yang kami tahu kampus yang didirikan di bekas tanah sawah terkenal dengan 'charlie' .. siapa charlie? itu kena tanya warga kampus UiTM Penang la..huhu.. Kami berada di UiTM selama 2 hari iaitu pada 29 dan 30 Julai. Hari pertama kami menjadi juri untuk pertandingan nasyid inter IPT dan malam kedua kami membuat persembahan sempena dengan mini konsert kami di Unifest.

Sesi autograf : Ingat diorang je boleh ambik gambar?Kami pun boleh.. huhu :)

Walaupun kami kali pertama membuat persembahan di sini, sambutan yang diberikan cukup positif. Penonton pun sporting dan memberi respon yang bagus dan ia menyebabkan kami lebih bersemangat untuk beraksi di pentas. Di awal acara pihak penganjur sempat 'mengenakan' penonton dengan mengatakan kami tak dapat membuat persembahan kerana terpaksa pulang ke Kuala Lumpur atas sebab yang tidak dapat dielakkan. Hmm.. ramai juga yang terpedaya dengan gimik itu.. sebenarnya kami ada je kat belakang pentas tu..huhu Apapun terima kasih UiTM! .. Nanti jemput kami lagi yer!

Nasyid IPT Unifest: Penantian Kami Berakhir


Sudah lama kami tak jumpa banyak vokalis yang bagus dalam satu-satu pertandingan nasyid peringkat IPT mahupun sekolah. Namun alhamdulillah pertandingan nasyid inter IPT sempena Unifest Uitm Pulau Pinang telah membawa kami kepada penghujung penantian kami. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini apabila kami menjadi mana-mana pertandingan nasyid, sangat sukar untuk kami menemui bakat-bakat baru nasyid yang berkualiti seperti yang kami temui di pertandingan ini. Mereka ini bukan sahaja punya suara yang merdu tapi juga punya showmanship yang baik serta confident level yang tinggi ketika di atas pentas.Boleh dikatakan mereka punya pakej yang lengkap untuk menjadi seorang penasyid. Nampaknya kita masih punya 'pool of talents' yang mampu mengisi industri nasyid suatu masa nanti. Tidak keterlaluan jika kami katakan, sesetengah daripada mereka mempunyai kualiti vokal yang jauh lebih baik daripada sesetengah penasyid yang telah pun terjun ke dalam industri dengan memiliki album sendiri. Tahniah kami ucapkan kepada semua peserta yang menunjukkan prestasi yang baik dan tidak lupa juga syabas buat UiTM Pulau Pinang kerana berjaya mencungkil bakat-bakat ini!

Monday, August 8, 2011

Saringan Festival Nasyid Pulau Pinang

Festival Nasyid Pulau Pinang peringkat saringan telah berlangsung dengan jayanya pada 23 Julai 2011 di Perbadanan Perpustakaan Pulau Pinang, Seberang Jaya. Dalam saingan kali ini Mestica teleh dijemput untuk menjadi juri pertandingan bagi memilih 10 pasukan terbaik daripada 18 pasukan yang bertanding. Pasukan yang bertanding mewakili pelbagai agensi kerajaan, swasta mahupun istitusi pendidikan.

Bergambar kenangan bersama sebahagian peserta

Secara umumnya masih banyak ruang untuk diperbaiki setiap pasukan yang bertanding jika berhasrat membawa cabaran Pulau Pinang di peringkat kebangsaan. Mereka masih punya masa kerana saingan akhir peringkat negeri akan berlangsung pada bulan oktober nanti. Syabas kepada pasukan yang terpilih ke peringkat akhir dan kepada yang tidak terpilih, usahlah berputus asa. Perbaiki kekurangan yang ada dan sertai lagi pertandingan akan datang.

Salam FM 91.1

Rasanya masih ramai yang belum menyedari kewujudan sebuah stesen radio Islamik yang dikelolakan oleh JAKIM iaitu Salam FM. Mungkin kerana ianya bersiaran pada masa yang terhad iaitu bermula pukul 12.00 tengah malam sehingga 8.00 pagi serta ia berkongsi frekuensi bersama Asyik FM dan Radio Suara Islam. Jadi bagi anda yang ingin mengikuti siaran Salam FM bolehlah 'tune' radio anda ke 91.1 FM bagi kawasan lembah klang.

Alhamdulillah, Mestica telah diundang untuk ditemubual di konti Salam FM buat kali kedua pada 15 Julai yang lalu. Kali ini kami hadir bertiga sahaja kerana Khairul puny akomitmen lain. Dalam temubual tersebut, kami sempat berkongsi perkembangan semasa Mestica dengan para pendengar.Sekurang-kurangnya teman-teman diluar sana dapat mendengar berita terbaru tentang kami yang melibatkan pembikinan album ke-4 serta jadual persembahan pentas serta perkembangan diri masing-masing. Terima kasih kami ucapkan kepada DJ Norlida kerana sudi menjemput kami.

Sekolah Tanpa Tong Sampah

Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim, Jitra Kedah merupakan sekolah yang cukup istimewa pada pandangan kami. Sewaktu kami mul amelangkah masuk ke kawasan SMSAH kami terpandang sebuah papan tanda yang tertulis "Sekolah Tanpa Tong Sampah".. Uiks pelik jugak. Macam mana nak buang sampah kalau macam tu? Sekolah ni takde sampah langsung ke?.. Itu antara persoalan-persoalan yang bermain di fikiran kami awalnya.

Bergambar kenangan bersama pelajar dan guru SMSAH

Sebenarnya kami telah dijemput oleh pihak sekolah untuk membuat persembahan dalam sebuah mini konsert bersempena dengan majlis penutupan minggu kesenian Islam di sekolah tersebut pada 24 Jun lepas. Alhamdulillah sambutan yang diterima amat menggalakkan. Sebagaimana biasa, Mestica mendendangkan lagu-lagu hits kami termasuk single terbaru kami. Beberapa sekolah di sekitar juga turut hadir bersama untuk menonton persembahan kami. Terima kasih atas sokongan yang telah diberikan!

Sebelum pulang kami sempat berbual dengan Tuan Pengetua SMSAH dan bertanyakan perihal sekolah tanpa tong sampah ini. Menurut beliau, sekolah ini hanya punya satu tong sampah besar. Jadi semua pelajar dan guru di sini mendisiplinkan diri untuk menyimpan sampah masing-masing dengan cara yang tersendiri sebelum dibuang ke dalam tong sampah yang besar tadi. Kan bagus kalau amalan sebegini dapat dilakukan juga di sekolah-sekolah lain. Tentunya sekolah akan menjadi satu tempat yang bersih dan bebas daripada sampah sarap. Syabas kami ucapkan buat SMSAH!

Showcase Shuhada: Tribute buat Semua Penasyid

Sesi latihan showcase

Dah lama nasyid tak macam ni. Tragedi tanah runtuh yang menimpa rumah anak-anak yatim dan anak-anak al hidayah Madrasah At Taqwa Hulu Langat membawa hikmah yang tersendiri buat para penasyid. Para penasyid yang menggunakan platform Munsyid (Majlis Usrah Penasyid Malaysia) menjayakan showcase amal ini secara gotong royong. Kerjasama dan komitmen yang diberikan cukup mengharukan. Selalunya kami dibayar untuk membuat persembahan, tapi kali ini kami yang mengeluarkan kos sendiri untuk buat persembahan. Masing-masing membuat sumbangan mengikut kemampuan sendiri. Ada yang sumbang tenaga,
ada yang sumbang masa, buah fikiran malah ada yang sanggup memasak untuk menjamu kawan-kawan yang hadir sewaktu latihan. Indahnya apabila kita bekerja secara berjemaah.


Mestica mengucapkan terima kasih dan syabas buat semua teman-teman penasyid yang terlibat menjayakan usaha murni ini. Tak dilupakan semua agensi atau pihak yang terlibat seperti Nasyeed.Com, PADAT, MBSA serta para penaja termasuk semua pihak media yang memberi sokongan padu. Alhamdulillah berkat usaha gigih semua pihak, showcase amal ini berjaya mengumpul sumbangan hampir RM60 ribu . Semoga Allah terus memberi kekuatan kepada kita untuk menjalankan program amal sebegini pada masa-masa yang akan datang. Insya Allah..

Sunday, August 7, 2011

Menjejakkan Kaki ke TV Al Hijrah

We're here at last

Sudah agak lama juga Mestica tidak muncul di kaca TV. Alhamdulillah sempena Showcase Shuhada At Taqwa, kami dijemput untuk bersiaran dalam program Assalamualaikum pada 6 Jun yang lepas. Sayangnya Epul tak dapat bersama kerana komitmen kerja jadi Mestica hanya hadir bertiga bersama Dakmie. Selain ditemubual berkenaan dengan showcase yang bakal berlangsung, Mestica turut berpeluang mendendangkan 2 buah single terbaru berjudul Istikharah dan Kasih.

Menunggu giliran untuk on air

"Saya suka lagu tadi.." ujar En Zabidi Mohamad, seorang penulis skrip drama selepas mendengar kami mendendangkan lagu Istikharah. "Mungkin saya boleh menghasilkan skrip drama berdasarkan lagu ini.. Lagipun banyak lagu nasyid yang saya jadikan sumber inspirasi dalam penulisan skrip", tambahnya lagi. Untuk rekod, En Zabidi banyak menghasil skrip drama yang bersifat Islamik. Dia juga merupakan penulis buku yang mendapat sambutan hangat satu ketika dahulu iaitu "Tersungkur di Pintu Syurga" dan "Al Maunah: Kebenaran Yang Sebenar ( The Naked Truth)". Kebetulan pada hari itu dia turut menjadi tetamu jemputan dalam satu slot dalam program yang sama.

Dakmie, Bro Farihin, En Zabidi dan Khalil

Alhamdulillah sejak diterbitkan melalui album Khazanah Cinta, lagu Istikharah mendapat sambutan yang baik. Mungkinkah ianya akan diangkat menjadi OST drama atau filem satu ketika nanti? Kita doakan saja.. amin.. insya allah..

Saturday, May 28, 2011

Program Ziarah dan Penyampaian Sumbangan Mangsa Tanah Runtuh Hulu Langat

Alhamdulillah Mestica turut sama menghantar wakil dalam majlis penyampaian sumbangan oleh para penasyid Malaysia kepada Rumah Anak-Anak Yatim dan Anak-Anak Al Hidayah Madrasah Al Taqwa Hulu Langat yang terbabit dalam tragedi tanah runtuh pada 21 Mei yang lepas. Walaupun penganjurannya bersifat ad hoc, namun kerjasama yang ditunjukkan oleh semua yang hadir menjadikannya suatu acara yang cukup bermakna. Mestica hanya diwakili oleh Razin kerana Khairul, Khalil dan Shaiful terikat dengan komitmen kerja.


Antara artis yang hadir ialah Inteam, UNIC, Mestica, Al Farabi Band, As Saufee, Damai serta aktivis nasyid lain seperti Itolara, Frizdan, Waie & Azly (Nasyeed.Com), Firdaus (Nasyid FM), Husaini & Munsyid.Com Crews, Firdaus (MZM FC) dan ramai lagi. Majlis dimulakan dengan tahlil ringkas yang dipimpin oleh Bazli UNIC kemudian diikuti oleh ucapan wakil artis dan wakil madrasah, serta penyampaian sumbangan. Selepas menjamu selera, para penasyid yang ada turut bersama-sama membuat persembahan untuk tetamu yang hadir. Insya Allah kami turut bercadang untuk mengadakan konsert amal bagi mengumpul derma bagi mangsa tragedi tempohari dalam waktu terdekat.


Sama-sama kita doakan semua mangsa tragedi tabah dalam menghadapi dugaan Allah ini. Kita sedekahkan juga al fatihah buat mereka yang telah pergi mengadap ilahi dan kita doakan kesejahteraan mereka di alam sana. Al fatihah..

Wednesday, April 13, 2011

Single Mestica Dah Keluar!


Nasyeed.Com kini tampil dengan album kompilasi terbaru berjudul Khazanah Cinta yang menghimpunkan 13 lagu-lagu nasyid terbaik yang bertemakan cinta semesta. Antara artis nasyid yang terlibat dalam album ini ialah Marjan melalui lagu Insan Utama & Damai BersamaMu, Wildan (Setia Seorang Isteri & Wajah Di Hati), Suhaimi (Cahaya Mata & Rona Cinta), Itqan (Untukmu Rasulullah & Srikandi), Algebra ( Yang Benar Tetap Benar) dan Muadz (Kasih Sejarak 2 Jari).


Lebih istimewa lagi album Khazanah Cinta turut memuatkan 2 buah lagu baru iaitu single terbaru daripada kumpulan Mestica berjudul Istikharah dan sebuah lagu daripada bintang nasyid baru iaitu Asyraf berjudul Mungkinkah. Peminat Mestica tentunya telah lama menantikan kemunculan buah tangan terbaru daripada mereka. Istikharah adalah ciptaan Razin Mestica dan liriknya ditulis oleh Mass Mohamad manakala lagu Mungkinkah pula dicipta oleh Shaiful Mestica dan lirik ditulis oleh Ito Lara.


Album ini turut menampilkan kumpulan nasyid yang seringkali mewakili negeri Selangor ke Festival Nasyid Kebangsaan iaitu Kumpulan Rawiyani yang terdiri daripada kakitangan Majlis Perbandaran Subang Jaya. Dalam album ini Rawiyani berduet bersama kumpulan nasyid Hurul Ain melalui lagu yang cukup indah iaitu Sujud Yang Damai. Jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan album Khazanah Cinta terbitan Nasyeed.Com dan edaran Sony Music di pasaran sekarang!

Selangkah Ke Alam Fantasi

Cabutan Bertuah

Jangan terkejut dengan tajuk entry ini. Sebenarnya 3 April lepas kami dijemput oleh pihak Kolej Kediaman Desa Jati dan Kolej Kediaman Anggerik Avenue USIM untuk membuat persembahan sempena majlis makan malam tahunan mereka yang bertemakan The Night of Fairy Tale. Kali ini Mestica sekali lagi bertiga kerana Khalil masih berada di tanah suci kerana mengerjakan umrah.

Salah seorang "pari-pari"

Sesampai kami di Hotel Equatorial Bangi tempat di mana majlis berlangsung, kami di sambut oleh sekumpulan pari-pari yang bersayap putih dan berkelip-berkelip. "Lawa sayap dik? Beli kat mana?" tanya kami.. "Kat Giant je bang ," balas salah seorang daripada mereka sambil tersenyum. Selain daripada yang bersayap, ade juga hadirin yang memakai gaun ala-ala snow white, cinderella dan sebagainya. Yang lelaki je maybe susah sikit nak cari kostum macam Peter Pan atau Pinochio jadi kebanyakan mereka berpakaian sut, baju melayu atau berkemeja formal.

Beramah mesra dengan para hadirin

Majlis ini turut dihadiri oleh Naib Canselor Unisel sebagai tetamu kehormat. Ini kali kedua juga Mestica berpeluang membuat persembahan di hadapan beliau selepas di FPQS tempohari.Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur kerana sudi menjemput kami di majlis yang meriah ini. Nanti jemputlah lagi ye!

Tuesday, April 12, 2011

Royalti PRISM


Pada 18 Mac lalu bertempat di Restoran Sri Melayu KL , pihak Performers & Artist Rights Sdn Bhd atau lebih dikenali dengan PRISM telah mengadakan majlis pengagihan royalti kepada lebih 2000 orang ahlinya. PRISM adalah sebuah badan yang diberi hak oleh kerajaan untuk mengutip royalti daripada mana-mana pihak yang mendapat manfaat daripada hasil karya seni para penyanyi, pemuzik mahupun penyanyi latar dan seterusnya menyalurkannya kembali kepada para artis dengan kadar yang ditetapkan. Jadi setiap individu artis yang berdaftar dengan PRISM akan berpeluang untuk mendapat royalti setiap tahun berdasarkan kaedah tertentu.

The Cheque

Alhamdulillah, anggota-anggota Mestica juga telah menjadi ahli PRISM sejak 2004 dan kami turut menerima royalti sejak itu. Tapi royalti kami takdelah banyak macam otai-otai tu. Sikit je.. boleh la buat belanja kawan-kawan minum kat kedai mamak..hehehe.. Dalam majlis baru-baru ini Razin, Khairul bersama KIng and Aky Algebra telah turut hadir. Ada juga kami jenguk kehadiran artis nasyid lain tapi nampak macam takde. Yang kami perasan cuma Kak Lynn Amzah.

King Algebra dan Khairul Mestica

Majlis yang berlangsung dengan suasana penuh meriah dan semangat kekeluargaan itu dihadiri oleh hampir 400 orang ahli PRISM termasuklah para penyanyi yang dah lama tak muncul di kaca tv macam Dahlan Zainudin, Zaiton Sameon, Salwa Abdul Rahman, Nasier Wahab, Zur Eda dan ramai lagi. Artis-artis generasi baru pun ramai. Antara otai yang turut hadir ialah M.Nasir, Fauziah Latif, Wings, Search, Mus May dan beberapa orang pemuzik hebat seperti Eddie Marzuki, Man Kidal dan lain-lain.

Jom jadi ahli PRISM

Sebenarnya masih ramai kawan-kawan artis yang belum mendaftarkan diri sebagai ahli PRISM. Rasanya kawan-kawan nasyid pun ramai. Rugilah sebab walalupun mungkin tidaklah banyak sangat tapi ia tetap hak kita. Kepada kawan-kawan artis yang nak berdahtar bolehlah mendapatkan maklumat lanjut di laman web prism di www.prism.org.my

Berkongsi Pentas Dengan Sahabat Lama


Baru-baru ini Mestica telah dijemput untuk membuat persembahan di FPQS USIM sempena dengan majlis penutup Minggu Kesenian dan Kebudayaan Islam. Kali ini Mestica tampil bertiga sahaja sebab Khairul tidak dapat hadir kerana tidak berapa sihat. Apa yang istimewanya, kami berpeluang untuk berkongsi pentas dengan rakan-rakan lama kami di kampus UiTM Shah Alam yang telah lama tidak kami bertemu mata. Satu ketika dulu kami pernah bersama-sama mewarnai persada nasyid di peringkat kampus dan sempat juga menjadi "seteru" dalam beberapa pertandingan nasyid :) Namun kini sebhagian daripada mereka telah kembali akrif dengan menubuhkan kumpulan Fikrah yang aktif mengadakan persembahan di negeri Pahang khususnya.


Untuk rekod, 3 orang anggota kumpulan Fikrah iaitu Faizal, Hazly dan Shahir pernah bersama-sama dengan Razin dalam satu kumpulan dikenali sebagai Is-One ketika di UiTM Shah Alam. Is-One ketika itu adalah satu kumpulan nasyid yang berpengkalan di Kolej Perindu dan pernah mewakili UiTM Shah Alam dalam beberapa pertandingan nasyid peringkat IPT.

Dalam persembahan tempohari Mestica sebagaimana biasa telah menyampaikan beberapa lagu hits dan single terbaru yang berjudul istikharah. Dan di akhir persembahan, Mestica dan Fikrah telah berpadu tenaga untuk mengalunkan lagu Yang Abadi dengan diiringi paluan perkusi oleh ahli-ahli Fikrah. Di kesempatan ini kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada FPQS USIM kerana sudi menjemput kami sekaligus memberi peluang kepada kami untuk kembali berkongsi pentas bersama sahabat-sahabat lama kami.

Friday, January 28, 2011

Istikharah


Berikut adalah lirik single terbaru Mestica berjudul Istikharah yang akan dimuatkan dalam album kompilasi Khazanah Cinta terbitan Nasyeed.Com yangbakal berada di pasaran pada bulan Febuari ini. Nantikan kemunculannya!

ISTIKHARAH

Takdir langit menukar warna
Dari jingga ke kelam mata
Dalam jubah tanganku melata
Merunduk runtun terus meminta

Aku bercinta dalam dilema
Mencari yang tiada dijangka
Biar sakit yang kau sedia
Sepenuh jiwa aku redha

Adanya satu itu kelabu
Adanya satu itu pasti bertemu
Mahu aku bertanya Kau kirimkanlah
Mahu aku pada siapa Kau jelaskanlah

Istikharah.. Istikharah..
Pada-Mu ya tuhanku lepaskanlah aku
Dari tanya dan keliru
Istikharah.. Istikharah
Demi nama-Mu ya Allah

Aku sujud penuh menyembah
Berikan aku jawapannya
Biar sakit biar pahit
Yang diutus-Mu itulah kesempurnaanku

LAGU : RAZIN MESTICA
LIRIK : MASS MOHAMAD

Thursday, January 27, 2011

Konsert Jelajah GEMS

Mestica featuring Dakmie

Alhamdulillah setelah lama tidak beraksi di pentas konsert, Mestica kembali beraksi dengan lagu-lagu terbaru yang bakal dimuatkan dalam album ke-4. Lebih istimewa lagi Konsert Jelajah Generasi Idaman Selangor (GEMS) kali ini memberi ruang kepada kami untuk berkongsi pentas bersama lagenda rock negara, Amy Search. Turut bersama ialah penerbit album kami iaitu Dakmie dan Ustaz Akhil Hayy. Program jelajah GEMS ini ialah inisiatif daripada kerajaan negeri Selangor menerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Pembangunan Modal Insan yang dipimpin oleh Yang Behormat Dr.Halimah Ali. Ianya antara lain bertujuan untuk mempromosi dan menerapkan nilai-nilai murni di kalangan remaja dan belia sekaligus mengurangkan masalah gejala sosial di kalangan masyarakat.

Mestica bersama Razlan, Amy Search dan Dakmie di backstage

Konsert bermula lebih kurang pukul 9.30 malam dan dikendalikan oleh pengacara,Razlan Jalaludin. Celoteh dan gurau senda beliau ternyata menceriakan suasana. Penonton juga diberi peluang untuk menjawap soalan-soalan kuiz dan memenangi hadiah yang disediakan oleh pihak penaja. Tirai persembahan dimulakan dengan Mestica yang menyanyikan lagu Salahudin Al Ayyubi dan single terbaru kami berjudul Istikharah. Majlis kemudiannya disambung dengan sesi sembang santai bersama YB Dr Halimah Ali dan Ustaz Nazmi yang mengupas tentang isu-isu remaja. Nasihat yang bersahaja tetapi sarat dengan mesej bukan sahaja ternyata memberi kesan kepada hadirin.

Aksi Amy Search

Dakmie meneruskan persembahan dengan lagu Badar 313 ciptaan beliau yang dipopularkan oleh Mestica. Hadirin kemudiannya menyerlahkan keterujaan apabila Dakmie menyanyikan lagu Yang Terindah iaitu soundtrack bagi drama popular Adamaya yang disiarkan di TV3. "Ooo inilah penyanyi lagu Adamaya tu.." begitulah luahan sebahagian besar daripada hadirin yang kali pertama melihat Dakmie. Mestica kemudiannya tampil semula ke pentas untuk berduet dengan Dakmie melalui sebuah lagu baru yang berjudul Kasih.

Selawat beramai-ramai

Konsert diteruskan dengan Ustaz Akhil Hayy dengan 2 buah lagu termasuklah lagu popular Ungu, Andai Ku Tahu. Tapak konsert menjadi gamat apabila Amy Search muncul di pentas. Beliau yang menyanyikan lagu Mentari Merah di Ufuk Timur dan Isabella berjaya mendorong para penonton untuk menyanyi bersama secara spontan. Konsert diakhiri dengan selawat beramai-ramai dan bacaan doa yang dipimpin oleh Ustaz Akhil Hayy. Mestica ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua teman-teman yang hadir memberi sokongan. nantikan persembahan kami di venue-venue seterusnya.