Sila Klik Di Sini

AKTIVITI MESTICA

Berikut adalah jadual terkini show dan aktiviti Mestica buat masa ini. Jangan lupa untuk bertemu kami di venue-venue berikut:

  • 9 Mac Juri pertandingan Nasyid Nadwah Islamiah IPMA di Kolej MARA Banting pukul 8.30 malam
  • 10 Mac Majlis penutupan Minggu Penghayatan Islam Kolej Ke-9 Universiti Malaya pukul 9.00 malam
  • 24 Mac Roadshow Anugerah Nasyeed.Com di Village Mall Sungai Petani Kedah pukul 2.00 petang
  • 31 Mac Konsert Malam Kesenian Islam bersama Hijjaz dan Mestica di Kuala Langat pukul 8.30 malam
  • 13 April Malam Anugerah Nasyeed.Com di Dewan Muktamar Pusat Islam, KL pukul 8.30 malam
  • 12 Mei walimatul arus Nur Sofea di Kg Parit Buaya, Muar, Johor

Untuk sebarang tempahan bagi urusan persembahan dan sebagainya boleh lah berhubung dengan wakil kami saudara Razin di talian 016-232 1980 atau email di alamatmestica313@gmail.com

Wednesday, July 29, 2009

Sekitar Rakaman Single Terbaru Mestica

17 Julai yang lalu, kami telah memulakan rakaman single terbaru Mestica berjudul kasih. Rakaman ini telah dijalankan di studio Nasyeed.Com. Insya Allah rakaman akan kembali bersambung hujung minggu ini.

Bincang dulu sebelum recording

Kasih yang tersembunyi..

Terbentang luas pandangan..

Bro Zaidi Wildan yang turut menjenguk kami recording

Recording dah abis dah

Friday, July 24, 2009

Single Terbaru : Kasih

Assalamualaikum wbt...
Berikut saya sertakan lirik single terbaru Mestica yang akan dikeluarkan tidak lama lagi. Lagu ini ciptaan sepenuhnya oleh Dakmie berjudul Kasih. Sebenarnya lagu ini pada asalnya menjadi salah satu pilihan untuk dimasukkan dalam album ketiga Mestica namun oleh kerana lagu Badar 313 terpilih maka lagu ini tidak dimasukkan. Insya Allah kami akan mula menyanyikan lagu ini dikhalayak ramai menjelang Ramadhan akan datang... nantikan kemunculannya..


KASIH

Kasih yang aku rindu
Membawa perasaan pilu
Kasih yang aku tunggu
Menjelma dalam mimpiku

Kan termetrilah
Hati yang terlalu gundah
Membelai rasa yang terindah

Kasih yang tersembunyi
Di balik kesucian hati
Kasih yang kumiliki
Hamparan dari ilahi

Dan terlerailah
Hati yang terlalu gundah
Membelai masa yang terindah

Terbentang luas pandangan
Pada mata yang memandang keindahannya
Airmata kasih yang mengalir
Menzahirkan kecintaan
Yang tak terhingga

Hinggaku merasa kaku
Hinggaku merunduk malu
Betapa hebatnya
Cintamu..

Lagu : Kasih
Artis : Mestica
Komposer : Dakmie
Penulis Lirik : Dakmie


Wednesday, July 22, 2009

Kembara Ke Terengganu: UMT (15 Julai 2009)

Hari kedua kami di Terengganu memberi ruang yang selesa untuk kami berehat dan bersiar-siar di sekitar Kuala Terengganu. Bukan selalu kami dapat peluang macam ni. Selalunya kami akan bertolak pagi dan sampai lewat petang sebelum show pada waktu malam. Sebaik saja habis show kami akan terus pulang. Tapi kami punya masa yang cukup untuk melakukan perkara-perkara yang tidak dapat kami lakukan dalam kunjungan kami sebelum ini.

Kami keluar dari rumah penginapan UMT untuk bersarapan di sebuah gerai berdekatan lebih kurang pukul 9 pagi. Actually gerai tu dicadangkan oleh ayah King Algebra yang kami temui malam sebelumnya. Menurutnya gerai yang kami pergi tu antara gerai yang paling best kat situ. Lupa pulak kami nama gerai tu. Sampai sahaja digerai tu, kami tak melepaskan peluang untuk menikmati juadah tradisi orang terengganu antaranya nasi dagang ikan aye (tongkol), nasi kuning, laksam dan beberapa kuih tradisi yang kami pun lupa nak tanya apa namanya. Memang ramai orang makan di gerai tu.

Selepas menjamu selera, kami terus ke Pasar Payang untuk membeli belah.Dalam perjalanan ke Pasar Payang, kami menjenguk Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang runtuh baru-baru ini. Nampaknya, kerosakan yang dialami lebih teruk daripada apa yang kami sangka dan lihat di kaca TV. Setibanya di Pasar Payang kami dapati ada satu karnival sedang berlangsung di Dataran Shahbandar yang terletak berhampiran. Kami sempat meronda-ronda di tapak karnival melihat produk-produk IKS yang dijual. Ketika itu majlis perasmian baru sahaja berlangsung dan pelajar-pelajar dari MRSM Kuala Terengganu sedang membuat persembahan gamelan dan diikuti dengan dikir barat. Setelah habis meronda kami terus ke Pasar Payang. Masing-masing banyak juga membeli buahtangan berupa pakaian, barangan kraf mahupun barang makanan untuk dibawa pulang.

Setelah itu kami ke Masjid Kristal di Pulau Wan Man untuk menunaikan solat Zohor. Memang cantik dan selesa masjid ni walaupun agak kecil. Jika dilihat dari Jambatan Sultan Mahmud, memang masjid ini kelihatan seperti kristal sejajar dengan namanya. Ramai juga pelancong yang turut berjemaah bersama kami. Bagaimanapun kami tak masuk ke Taman Tamadun Islam yang menempatkan replika masjid-masjid terkemuka di dunia.

Kami kemudiannya bergerak ke sebuah restoran yang terletak di tepi pantai Rusila. Ini kali kedua kami ke situ untuk menikmati lempeng nyior. Juadah ni memang susah nak dicari di KL. Air tuak (nira) pun ada. Lebih istimewa air tuak ni dihidangkan bersama ais krim. Memang best rasanya. Kalau korang turun ke Terengganu, cuba-cubalah merasa makanan ni semua. Memang berbaloi!huhu

Kami pulang ke rumah penginapan lebih kurang pukul 3 petang. Selepas melelapkan mata dan berehat, kami ke Seberang Takir untuk membeli keropok lekor untuk dibawa pulang lebih kurang pukul 5 petang. Selalunya kami membeli keropok 007 di Marang ataupun di Losong, tapi kali ini kami cuba di tempat baru. Lagipun kami diberitahu keropok Seberang Takir memang tengah top sekarang ni.Dalam perjalanan pulang menuju ke Dataran UMT untuk sound check, kami sempat melalui jalan tepi pantai Gong Badak dan melihat projek menambak pantai yang sedang rancak berjalan dan bangunan Lapangan Terbang Kuala Terengganu yang tersergam indah.

Selepas menunaikan solat isyak kami terus ke Dataran Canseleri UMT untuk membuat persembahan. Kami diberi slot selama satu jam dari pukul 9 hingga 10 malam. Kami menyanyikan 5 buah lagu iaitu Inayah, Demi Cinta Zainab, Rahmat Ujian, Segalanya Milik-Mu dan Layar Keinsafan. Warga UMT memang sporting habis sekaligus menjadikan persembahan kami lebih ceria dan bertenaga. Kami juga menjemput beberapa orang penonton untuk melakukan aktiviti tertentu di atas pentas sebelum kami menghadiahkan cenderamata sebagai tanda terima kasih.Sebilangan penonton yang hadir adalah para pelajar semester satu UMT namun terdapat juga pelajar-pelajar UDM dan Maktab Perguruan Batu Rakit yang turut hadir memberi sokongan. Terima kasih kami ucapkan pada semua. You all memang best!!

Setelah tamat program, kami pulang ke Shah Alam pada malam itu juga dan tiba lebih kurang pukul 4 pagi. Walaupun penat, kembara kami ke Terengganu kali ini memberi seribu satu kenangan manis buat kami. Terima kasih UDM dan UMT. Lain kali boleh la jemput kami lagi ye!

Monday, July 20, 2009

Kembara ke Terengganu: UDM (14 Julai 2009)

Telah lama Mestica tidak turun ke Terengganu untuk membuat persembahan. Kali terakhir adalah setahun yang lepas di UMT semasa program memperingati Al Quds. Ketika itu Mestica beraksi bersama UNIC dan kumpulan kesenian Mahasiswa UMT. Namun kunjungan Mestica kali ini, lebih istimewa kerana kami akan berada di Kuala Terengganu selama 2 hari berturut-turut untuk membuat persembahan di 2 venue berbeza iaitu di Universiti Darul Iman kampus Kusza dan Universiti Malaysia Terengganu.

Rombongan Mestica kali ini turut disertai oleh Waie ( Nasyeed.Com) dan King Algebra. Epul tak dapat bersama kami kerana tidak mendapat pelepasan majikannya. Kami bertolak dari pejabat NC lebih kurang pukul 11.30 pagi dengan Unser milik NC. Kami singgah sebentar di Taman Melati Gombak untuk mengambil Khalil. Dia bertolak dari JB awal pagi itu.Perjalanan mengambil masa lebih kurang 6 jam. Kami berhenti makan tengahari di R&R Gambang untuk makan tengahari sebelum meneruskan perjalanan melalui Jalan Jerangau-Jabor untuk tiba di Kuala Terengganu.

Kami tiba di KT lebih kurang pukul 5.00 petang. Sebaik tiba kami terus ke Masjid UDM untuk solat asar. Oleh sebab kami tidak dapat membuat sound check kerana pentas digunakan untuk pertandingan karaoke maka kami terus ke tempat penginapan kami di UMT. Sebenarnya pihak UDM juga menyediakan penginapan tetapi oleh kerana kami tak mahu berpindah randah maka kami terus saja ke rumah tamu UMT.

Setelah berehat dan bersiap, kami bergerak ke tapak pesta konvo UDM pukul 8.30 malam. Sampai sahaja di pentas, kawasan persembahan masih lengang kerana hujan. Yasin dan Akbar yang akan turut membuat persembahan pada malam itu mengajak kami untuk minum bersama mereka di restoran Dr. Chicken yang terletak bertentangan dengan pintu utama UDM. Dah lama juga sebenarnya kami tak jumpa Yasin dan Akbar jadi banyak juga perkara yang kami sembangkan semasa di restoran itu. Akbar juga memaklum berita gembira beliau dan terus menjemput kami untuk hadir ke majlis perkahwinannya pada bulan 10 nanti.

Selepas mendapat panggilan daripada penganjur, kami terus sahaja ke pentas. Kami disambut mesra oleh pihak penganjur dan terus dibawa ke khemah artis bersebelahan pentas. Konsert dimulakan dengan persembahan daripada 2 kumpulan nasyid UDM. Kemudian Mestica mengambil tempat dengan 3 buah lagu iaitu Nasuha, Hurul Ain dan Puteriku Sayang. Ini adalah kali pertama kami membuat persembahan di Kusza sejak ditubuhkan. Dan kami begitu terharu dengan sambutan yang diberikan. Walaupun dalam keadaan hujan dan padang yang becak, para penonton tetap memenuhi ruang di hadapan pentas. Terima kasih kepada semua yang hadir. You all memang best!

Yasin dan Akbar kemudiannya meneruskan persembahan dengan lagu-lagu popular mereka secara duet. Persembahan mereka bagaimanapun terganggu kerana masalah teknikal namun ianya tidak sedikit pun mencacatkan persembahan mereka. Konsert tamat pada pukul 11 malam namun kami terus berada di situ untk sesi fotograf dan autograf. Selepas menjamu selera di sebuah restoran berdekatan kami pulang ke rumah penginapan lebih kurang pukul 1 pagi.