Sila Klik Di Sini

AKTIVITI MESTICA

Berikut adalah jadual terkini show dan aktiviti Mestica buat masa ini. Jangan lupa untuk bertemu kami di venue-venue berikut:

  • 9 Mac Juri pertandingan Nasyid Nadwah Islamiah IPMA di Kolej MARA Banting pukul 8.30 malam
  • 10 Mac Majlis penutupan Minggu Penghayatan Islam Kolej Ke-9 Universiti Malaya pukul 9.00 malam
  • 24 Mac Roadshow Anugerah Nasyeed.Com di Village Mall Sungai Petani Kedah pukul 2.00 petang
  • 31 Mac Konsert Malam Kesenian Islam bersama Hijjaz dan Mestica di Kuala Langat pukul 8.30 malam
  • 13 April Malam Anugerah Nasyeed.Com di Dewan Muktamar Pusat Islam, KL pukul 8.30 malam
  • 12 Mei walimatul arus Nur Sofea di Kg Parit Buaya, Muar, Johor

Untuk sebarang tempahan bagi urusan persembahan dan sebagainya boleh lah berhubung dengan wakil kami saudara Razin di talian 016-232 1980 atau email di alamatmestica313@gmail.com

Wednesday, December 2, 2009

Program Qurban Perdana Mu'min

Faizal (Mu'min) memerhatikan proses penyembelihan

Al Meswak Mu'min Sdn Bhd telah menganjurkan Program Qurban Perdana pada hari raya ketiga Iduladha 1430H bertempat di Sungai Rengit Johor. Program ini sebenarnya adalah salah satu program CSR (Corporate Social Responsibility) yang dilaksanakan pada setiap tahun. Pada tahun lepas, program ini telah dilaksanakan di Tumpat, Kelantan dan disasarkan kepada golongan yang kurang bernasib baik. Selain itu ubat gigi Mu'min turut menganjurkan program-program CSR lain seperti mengecat surau dan masjid, gotong royong mahupun Pertandingan Bintang Nasyid Mu'min (BNM) yang bakal dianjurkan buat tahun ke-4 pada 2010.

Dakmie, Waie, Kerol dan Azman (Mu'min)

Sebagai duta bagi Program Bintang Nasyid Mu'min, Mestica turut dijemput untuk menghadiri Program Qurban Perdana pada kali ini. Mestica cuma diwakili oleh Razin dan Khairul sahaja kerana Epul dan Khalil tidak dapat turut serta atas sebab yang tidak dapat dielakkan. Namun begitu rombongan Mestica ke Sungai Rengit turut disertai Bro Waie dan Dakmie mewakili Nasyeed.Com yang dilantik sebagai pelaksana acara pagi program BNM.

Beraya di Johor kami tahun ni

Pihak Mu'min telah menyumbangkan 2 ekor lembu untuk diagihkan kepada golongan yang kurang bernasib baik di sekitar Sungai Rengit. Proses penyembelihan telah dilaksanakan secara gotong royong oleh para penduduk kampung dan mendapat kerjasama penuh daripada Persatuan Pengasih dan Penyayang iaitu sebuah NGO yang berorientasikan kebajikan. Proses penyembelihan ini telah dilaksanakan di Masjid Sungai Rengit manakala majlis penyampaian sumbangan pula disempurnaka di Dewan Orang Ramai Sg Rengit.

Persembahan daripada kumpulan nasyid jemputan

Turut hadir memeriahkan majlis ialah wakil rakyat kawasan berkenaan iaitu YB Dato Harun yang menyampaikan sumbangan berupa daging qurban dan ubat gigi Mu'min kepada para hadirin. Orang ramai yang hadir turut sempat mengikuti ceramah khas Iduladha dan persembahan nasyid daripada kumpulan nasyid Mestica dan sebuah kumpulan nasyid tempatan.


Tuesday, November 24, 2009

Shooting Perindu Syurga

"Lagu ape pulak lepas ni?"Mungkin itulah yang Saleh cakap hehe

Perindu Syurga merupakan sebuah program muzikal yang diterbitkan untuk disiarkan di IPtv yang hanya boleh ditonton oleh pelanggan TV Internet tersebut. Pengisiannya bukan sekadar nyanyian semata-mata tetapi setiap lagu yang dinyanyikan akan diulas oleh seorang ustaz supaya intipatinya lebih jelas diterima oleh para penonton. Setiap episod akan melibatkan satu artis antaranya Mestica, the Sisters, Devotees, Muadz, Brotherz, Nazrey Johani dan ramai lagi.

Inilah dia music director kami

Rakaman program Perindu Syurga ini telah berlangsung pada 7 Oktober lepas di Wisma Bentley Mutiara Damansara. Program ini juga diterbitkan oleh Erma Fatima dengan dibantu tenaga produksi yang professional. Sesi rakaman Mestica bermula pukul 5 petang dan tamat lebih kurang sejam kemudian. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar dan kami berjaya mengelak daripada melakukan kesilapan. Hanya lagu Rahmat Ujian saja yang kami terpaksa rakam untuk kedua. Sesiapa yang langgan IPtv tu boleh la tengok nanti ye..

Bergambar dalam gelap dengan Abg Sam Raihan

Rehearsal Perindu Syurga

We are ready to jam

Dah lama Mestica tak berpeluang untuk membuat persembahan dengan diiringi live band. Kali terakhir adalah ketika kami menjadi host rancangan Zoom In RTM 2 tahun lepas yang mana pengarah muziknya ialah Abg Eddie Marzuki. Kali ini untuk rancangan Perindu Syurga Eddie Slam pula yang mengetuai barisan pemuzik profesiona ain seperti Kelly (bass), Shah Sam (Guitar) dan ramai lagi. Untuk memantapkan vokal,kami dibantu oleh Bro Saleh dan Faiz dari kumpulan Brotherz yang bertindak sebagai penyanyi latar.

Asyraf yang menggantikan Khalil

Kami semua telah menjalani latihan di studio Akar Karya Damansara yang dipunyai oleh Dato Sheila Majid dan Acis yang juga suaminya. Sesi latihan hanya berlangsung dalam tempoh sejam setengah di mana kami telah menyanyikan 5 buah lagu iaitu Layar Keinsafan, Salahudin Al Ayyubi, Rahmat Ujian, Inayah dan Badar 313. Untuk rancangan ini, Khalil tak dapat join sebab komitmennya di Johor. Oleh itu Asyraf telah mengambil tempatnya.Selepas sesi kami tamat , kumpulan Devotees pula mengambil tempat.

Kerol dan Razin bersama Faiz Brotherz

Mestica @ B2B I Luv Islam

3 Oktober lepas, Mestica telah dijemput bersama-sama hadir dalam program Back to Basic yang dianjurkan olej komuniti I Luv Islam bertempat di perkarangan Karangkraf. Mestica hanya diwakili oleh Razin dan Kerol kerana Epul dan Khalil tidak dapat hadir. Turut hadir ialah CEO Kumpulan Karangkraf iaitu Dato Husamuddin Yaacob dan pegawai-pegawai kanan karangkraf. Selain daripada Dato Husamuddin Yaacob yang berkongsi pengalamannya dalam membina empayar perniagaan, Razin dan Kerol turut diberi peluang untuk berkongsi cerita masing-masing tentang penglibatan dalam bidang seni mahupun perniagaan.

En Ahmad Yani ( Kiri) dan Dato Husamudin Yaacob

Majlis ini sebenarnya turut diadakan bersempena dengan sambutan Idulfitri tahun ini dan ulang tahun I Luv Islam.Sebelum menjamu selera, kami sempat bergambar dengan semua hadirin. Semoga program ini akan merapatkan lagi hubungan I Luv Islam dan Mestica.

Antara ahli I Luv Islam yang hadir

Monday, September 21, 2009

Selamat Hari Raya Idufitri

Dikesempatan ini Mestica ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Idulfitri Minal Aidil Wal Faizin buat semua teman-teman yang terus menyokong kami selama ini. Ampun dan maaf atas segala kesilapan dan kesalahan kami sama ada yang kami sedari mahupun tidak. Kami doakan anda semua berbahagia di hari lebaran ini.



Bagi yang memandu pulang ke kampung, berhati-hatilah di jalanraya dan memandulah dengan cermat. Biar lambat asal selamat. Nantikan kemunculan single terbaru kami berjudul Kasih yang akan mula menemui anda selepas Idulfitri ini insya allah.

Wednesday, September 16, 2009

Iftar Uzma Berhad


Pada 12 September 2009 yang lalu, Mestica telah dijemput untuk membuat persembahan di majlis berbuka puasa anjuran Uzma Berhad khusus bagi meraikan pelajar-pelajar Darul Kifayah. Program ini telah dianjurkan di Kelab Golf Sultan Abdul Aziz Shah, Shah Alam. Untuk rekod , ini adalah kali pertama kami membuat persembahan di kelab golf ini walaupun ianya berdekatan dengan "base" kami di Shah Alam.

Berbuka dulu

Persembahan kali ini Mestica bertiga sahaja kerana Epul tidak dapat hadir kerana terpaksa menghadiri satu majlis lain di Kuala Lumpur. Majilis ini turut dihadiri oleh Dato Syed Ali Al Habshee yang juga Pengerusi Uzma Berhad. Apa yang menarik tentang Uzma Berhad, mereka telah menjadikan pelajar-pelajar Darul Kifayah seumpama anak angkat mereka. Malah sebahagian pelajar-pelajar yang cemerlang dalam bidang akademik telah mendapat biasiswa daripada Uzma Berhad. Ini adalah satu contoh yang baik untuk diikuti oleh badan-badan korporat lain yang berkemampuan.

Menghiburkan tetamu

Mestica telah memulakan persembahan dengan 2 buah lagu iaitu Puteriku Sayang dan Segalanya Milikmu.Sebaik sahaja masuk waktu maghrib Khalil telah mengalunkan azan secara live di atas pentas. Mestica sebenarnya turut ditemani oleh adik-adik kami dari kumpulan Sofieya yang kebetulan berada di Shah Alam kerana satu persembahan pada awal petang. Oleh sebab mereka tidak sempat untuk pulangberbuka di Kuala Lumpur maka kami telah menjemput mereka berbuka bersama kami di sini. Selepas solat maghrib, persembahan kami diteruskan lagi dengan menyampaikan lagu Hikmah Bulan Mulia dan Layar Keinsafan.

Kumpulan Sofieya

Pihak Uzma Berhad kemudiannya telah menyampaikan duit raya kepada pelajar-pelajar Darul Kifayah sebelum Mestica meneruskan 2 buah lagi lagu iaitu Destinasi Cinta dan Minal Aidil Wal Faizin. Bercakap soal juadah, menu yang disediakan di Kelab Golf Sultan Abdul Aziz Shah tidak kurang hebatnya dan enak belaka. Tumpuan ramai tetamu tentunya daging kambing bakar yang dimakan dengan sos yang istimewa. Tidak rugi rasanya jika anda berbuka puasa di sini..

Mestica @ Malaysia Hari Ini

Bersedia di ruang menunggu

Sudah hampir setahun lebih kami tidak muncul di rancangan Malaysia Hari Ini terbitan TV3 namun alhamdulillah Ramadhan kali ini kami diberi peluang untuk kembali ke set Malaysia Hari Ini. MHI 9 September dikendalikan oleh Ahmad Fedtri Yahya dan Wardina Safiyya. Kami tiba seawal 6.30 pagi kerana bimbang terperangkap dalam kesesakan lalulintas. Bulan puasa ni ramai yang bertolak awal untuk ke tempat kerja jadi kesesakan juga akan bermula lebih awal daripada biasa.
Set Malaysia Hari Ini

Selepas di "touch-up" oleh make up artist kami duduk di ruang menunggu. Sebelum slot kami, pihak PLUS telah ditemubual berkenaan dengan kempen keselamatan jalanraya yang dilancarkan mereka sempena Aidilfitri ini. Selepas itu Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Mohamad Zulkarnain mengambil tempat membicarakan tentang tips-tips mencegah jenayah pada musim perayaan. Mestica sempat mengikuti dan menonton secara "live" di belakang kamera bual bicara beliau dengan Fedtri.

Dah habis dah!

Slot kami bermula dengan nyanyian lagu Kasih yang merupa single terbaru kami. Walaupun kami menyanyi separuh lagu sahaja, rasanya sudah cukup untuk memberi gambaran umum tentang single terbaru kami itu. Kami kemudiaannya terus ditemubual tentang perkembangan terbaru kami khususnya berkenaan album raya yang turut melibatkan Mestica iaitu Seri Aidilfitri. Selepas selesai, kami sempat juga berbual bual dengan Wardina dan Fedtri. Wardina dikhabarkan akan beraya di Australia tahun ini dan kami sempat menghadiahkan album Seri Aidilfitri untuk dibawa ke sana. Terima kasih kepada TV3 kerana menjemput kami sebagai tetamu MHI dan nanti bolehlah jemput lagi ye!

Mestica dan Fedtri

Mestica @ PKNS Shah Alam

Bergambar sebelum show

Kompleks PKNS Shah Alam adalah antara tempat wajib untuk Mestica membuat persembahan setiap kali Ramadhan menjelang. Kompleks PKNS Shah Alam adalah tempat tumpuan dan popular di kalangan penduduk sekitar Shah Alam untuk membeli belah sempena hari raya. Malah ramai juga yang datang dari luar Shah Alam untuk membeli belah kerana harganya yang agak murah dan barangannya yang menarik. Kumpulan-kumpulan nasyid juga selalu membuat persembahan dan aktiviti di sini. Hijjaz Records contohnya pernah membuat pelancaran album Carta IKIM.fm di sini.

Persembahan Mestica

Persembahan Mestica kali ini pada 6 September 2009 agak santai dan meriah dengan kehadiran Abang Abon yang turut bertindak sebagai pengacara. Celotehnya membuatkan pengunjung kompleks PKNS ketawa riang walaupun berpuasa. Mestica telah menyampaikan 4 buah lagu dan turut diselang seli dengan soalan kuiz untuk pengunjung bertuah. Selain itu artis baru Hijjaz Records iaitu Leya Az Zahra turut sama membuat persembahan dengan menyampaikan 2 buah lagu. Salah satunya ialah lagu Segalanya Milik-Mu iaitu lagu Mestica yang dirakamkan kembali oleh beliau.

Persembahan Leya Az Zahra

Sebagaimana biasa persembahan tamat dalam pukul 5 petang. Kali ini Kerol tidak dapat hadir kerana tidak sihat jadi kami buat persembahan bertiga sahaja.

Mestica dan Abg Abon

Wednesday, September 2, 2009

Dengarkan Single Terbaru Mestica di Selamat Pagi Malaysia

Jumaat ini Mestica akan menjadi artis undangan rancangan Selamat Pagi Malaysia yang akan disiarkan secara live di RTM 1. Mestica sebenarnya dalam rangka promosi album Seri Aidilfitri yang akan mula berada di pasaran hujung minggu ini. Dalam album tersebut Mestica telah berkoloborasi bersama Rabbani, Muadz, Sofieya, Algebra, Amrain dan Itqan dalam satu lagu raya terbaru. Lagu berjudul Seri Aidilfitri ini juga merupakan lagu terakhir yang dirakamkan oleh Allahyarham Ustaz Asri Ibrahim. Malah pengambaran videoklip lagu tersebut juga dijalankan seminggu sebelum beliau kembali ke rahmatullah. Insya Allah video klip tersebut akan turut menemui anda di kaca-kaca tv menjelang hari raya nanti.

Mestica juga akan memperdengarkan single terbaru kami berjudul Kasih buat pertama kalinya pada khalayak umum. Lagu ini adalah ciptaan sepenuhnya oleh Dakmie dan proses ralaman dibuat sepenuhnya di studio Nasyeed.Com. Jadi jangan lupa temujanji kita jumaat ini ye! Biasanya artis jempuan untuk SPM akan muncul 2 kali. Yang pertama dalam pukul 8.00 dan kali kedua di penghujung rancangan. Saksikan kami nanti!

Saturday, August 22, 2009

Mubarak Ya Ramadhan

Asslamualaikum wbt..
Dikesempatan ini Mestica ingin mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa kepada semua teman-teman yang senantiasa menyokong perjuangan kami di lapangan seni sejak sekian lama. Terima kasih atas sokongan anda semua. Kami juga ingin memohon maaf jika kami ada melakukan kesilapan dan kesalahan selama ini. Semoga kita semua dapat menjalani ibadah dengan sempurna di bulan yang penuh barakah ini. Bersama-samalah kita memanfaatkan peluang pesta beribadah ini dengan meningkat iman dan takwa kita kepada Allah SWT.

Nantikan kemunculan album Seri Aidilfitri yang turut memuatkan lagu terakhir rakaman Allahyarham Ustaz Asri Ibrahim yang menggabungkan Mestica, Rabbani, Muadz, Algebra, Amrain, Sofieya dan Itqan yang akan berada di pasaran dalam minggu kedua Ramadhan.Kami tinggalkan kalian dengan sebuah videoklip nasyid yang berjudul Lord of Ramadhan dendangan sebuah kumpulan nasyid yang berpengkalan di Eropah iaitu CoTu.


Rakaman Nasyid TV

Borak-borak sebelum shooting

18 Ogos yang lepas Mestica telah diundang untuk menjadi tamu dalam rancangan Nasyid TV yang diterbitkan oleh Jakim. Nasyid TV merupakan satu program bual bicara yang berorientasikan nasyid yang disiarkan pada setiap jumaat pukul 6 pagi dan ulangannya pada 2.30 petang hari yang sama. Semasa rakaman tersebut, hanya Razin dan Khairul sahaja yang dapat hadir manakala Khalil dan Epul tidak dapat hadir kerana komitmen kerja.

Inilah set Nasyid TV

Pada hari tersebut sebenarnya rakaman dibuat untuk 3 episod membabitkan artis berbeza bagi setiap satunya iaitu Mestica, UNIC dan Far East. Walaupun Mestica yang tiba lebih dahulu di studio Jakim Putrajaya, kami memberi peluang untuk UNIC membuat rakaman terlebih dahulu kerana mereka perlu bertolak ke Kedah untuk satu show di KUIN. So selepas tu barulah kami mengambil tempat dan diikuti dengan Far East yang hanya diwakili oleh Ustaz Nabil seorang sahaja kerana ahli-ahli lain tidak dapat hadir. UNIC pula hadir bertiga iaitu Alan, Fazli dan Fitri.

Khairul bersama Nani (host Nasyid TV)

Sambil menunggu proses shooting sempat juga kami berbual dengan UNIC dan Nabil serta bertanya perkembangan terbaru masing-masing. Fazli baru sahaja menimang cahaya mata manakala Nabil pula baru sahaja memulakan tugas di Jakim beberapa bulan lepas. Rancangan Nasyid TV ini dikendalikan oleh DJ Radio IKIM.fm iaitu Siti Rohani Surani yang lebih mesra dengan panggilan Nani manakala penerbitnya tidak lain dan tidak bukan En Aziz Mahmood. Encik Aziz memang orang yang bertanggungjawab menyuburkan irama nasyid di RTM melalui rancangan NMI dan kini Nasyid TV. Jadi nantikan kemunculan Mestica di Nasyid TV selepas hari raya nanti. Insya Allah kami akan beritahu tarikhnya kemudian.

Friday, August 14, 2009

Perginya Sifu Nasyid


Ustaz Asri Ibrahim merupakan seorang yang boleh dianggap sebagai Abang Long kepada semua artis nasyid Malaysia. Walaupun Raihan yang lebih dahulu muncul dalam era nasyid kontemporari, Ustaz Asri telah lebih lama dikenali dan berpengaruh melalui kumpulan Nadamurni. Pada era 80-an dan awal 90-an boleh dikatakan majoriti vokalis kumpulan-kumpulan nasyid cuba meniru gaya suaranya. Pendek kata, dia dijadikan rujukan dan idola bagi majoriti peminat nasyid.

Ya Allah rahmatilah rohnya dan tempatkanlah dirinya di kalangan solihin

Namun apakan daya, lebih kurang pukul 11 pagi semalam yakni 13 Ogos 2009, beliau dijemput pulang mengadap ilahi setelah rebah ketika rehearsal persembahan pelancaran program syahadah terbitan RTM. Setelah berita kematiannya tersebar, ramai teman-teman yang datang menziarah baik di Pusat Perubatan Pantai, rumah keluarga Allahyarham di Bukit Lanchong Shah Alam mahupun ketika majlis pengebumian di tanah perkuburan Islam Seksyen 21 Shah Alam. Razin dan Saiful Mestica juga sempat menziarahi Allahyarham di hospital dan di rumah keluarga Allahyarham. Ketika di majlis pengebumian, Khairul turut serta bersama teman-teman yang lain.

Khairul bersama Waie (Nasyeed.Com) dan King (Algebra) di tanah perkuburan

Sudah puluhan tahun kita mendengar suaranya berkumandang di TV dan radio terutamanya ketika azan dan takbir hari raya selain daripada lagu-lagu dendangannya. Tak dapat dibayangkan bagaimana suasana Ramadhan kali ini tanpa kelibat Allahyarham di Hotel Singgahsana Petaling Jaya yang menjadi tempat Allahyarham menghiburkan para tetamu ketika iftar sejak lebih 15 tahun lalu.

Razin turut sama-sama mengangkat jenazah Allahyarham

Mestica juga punya kenangan tersendiri bersama Allahyarham. Seminggu sebelum kematiannya Mestica dan Rabbani bersama Sofieya (AN), Muadz, Algebra, Itqan dan Amrain sempat merakamkan videoklip lagu Seri Aidilfitri yang bakal berkumandang di stesen-stesen tv dan radion menjelang Aidilfitri kali ini. Untuk rekod, lagu dan videoklip ini adalah lagu pertama dan terakhir Mestica dapat berkolobrasi bersama Allahyarham sejak Mestica ditubuhkan. Sebelum ini, kami hanya banyak berkolobrasi bersama artis-artis Hijjaz Records sahaja. Namun kali ini, kami berpeluang berkoloberasi dengan beliau. Tak sangka juga ia adalah buat kali pertama dan terakhir. Lagu Seri Aidilfitri ciptaan Dakmie dan lirik oleh Mass Mohamad juga adalah lagu terakhir yang dirakamkan beliau sebelum kembali mengadap ilahi. Al fatihah...

Untuk cerita yang lebih lanjut layari blog

Tuesday, August 4, 2009

MISI 2009 Berlangsung Meriah

Persembahan finale Nur kasih

Malam Inspirasi Seni Islam (MISI 2009) telah berlagsung dengan begitu meriah. Secara jujurnya kami tidak menyangka konsert nasyid yang berbayar masih mampu menarik hampir 2000 orang penonton untuk hadir. Kami difahamkan tiket-tiket dijual pada harga RM6 dan RM4. Syabas kami ucapkan kepada pihak penganjur atas kejayaan mereka menganjurkan program ini. Kami juga dimaklumkan sebahagian daripada kutipan tiket disalurkan kepada golongan yang memerlukan.Semoga usaha murni mereka ini akan mendapat balasan setimpal dari Allah SWT.

Bergambar kenangan bersama peminat

Tengahari sebelum tu, kami ada show di UM. Actually kami buat persembahan selingan je sempena Program Airmata Gaza. Pengisian program memang bagus sebab ia memberi informasi dan kesedaran terhadap isu Palestin. Kami menyampaikan 3 buah lagu dalam program itu iaitu Salahuddin Al Ayyubi, Puteriku Sayang dan Inayah.

Suhaimi dan Ina diserbu peminat

MISI 2009 membariskan Demascus, Mestica, Suhaimi dan penampilan istimewa Ina Naim. Turut membuat persembahan ialah kumpulan nasyid USIM dan kumpulan teaternya. Suasana konsert berlangsung meriah dengan setiap artis menyampaikan lagu hits masing-masing. Pada penghujung konsert, semua artis telah bergabung menyampaikan lagu Nur Kasih sebagai finale.Mestica inin mengucapkan kepada semua yang telah hadir memberi sokongan serta penganjur yang sudi menjemput kami.

Sesi autograf

Wednesday, July 29, 2009

Sekitar Rakaman Single Terbaru Mestica

17 Julai yang lalu, kami telah memulakan rakaman single terbaru Mestica berjudul kasih. Rakaman ini telah dijalankan di studio Nasyeed.Com. Insya Allah rakaman akan kembali bersambung hujung minggu ini.

Bincang dulu sebelum recording

Kasih yang tersembunyi..

Terbentang luas pandangan..

Bro Zaidi Wildan yang turut menjenguk kami recording

Recording dah abis dah

Friday, July 24, 2009

Single Terbaru : Kasih

Assalamualaikum wbt...
Berikut saya sertakan lirik single terbaru Mestica yang akan dikeluarkan tidak lama lagi. Lagu ini ciptaan sepenuhnya oleh Dakmie berjudul Kasih. Sebenarnya lagu ini pada asalnya menjadi salah satu pilihan untuk dimasukkan dalam album ketiga Mestica namun oleh kerana lagu Badar 313 terpilih maka lagu ini tidak dimasukkan. Insya Allah kami akan mula menyanyikan lagu ini dikhalayak ramai menjelang Ramadhan akan datang... nantikan kemunculannya..


KASIH

Kasih yang aku rindu
Membawa perasaan pilu
Kasih yang aku tunggu
Menjelma dalam mimpiku

Kan termetrilah
Hati yang terlalu gundah
Membelai rasa yang terindah

Kasih yang tersembunyi
Di balik kesucian hati
Kasih yang kumiliki
Hamparan dari ilahi

Dan terlerailah
Hati yang terlalu gundah
Membelai masa yang terindah

Terbentang luas pandangan
Pada mata yang memandang keindahannya
Airmata kasih yang mengalir
Menzahirkan kecintaan
Yang tak terhingga

Hinggaku merasa kaku
Hinggaku merunduk malu
Betapa hebatnya
Cintamu..

Lagu : Kasih
Artis : Mestica
Komposer : Dakmie
Penulis Lirik : Dakmie


Wednesday, July 22, 2009

Kembara Ke Terengganu: UMT (15 Julai 2009)

Hari kedua kami di Terengganu memberi ruang yang selesa untuk kami berehat dan bersiar-siar di sekitar Kuala Terengganu. Bukan selalu kami dapat peluang macam ni. Selalunya kami akan bertolak pagi dan sampai lewat petang sebelum show pada waktu malam. Sebaik saja habis show kami akan terus pulang. Tapi kami punya masa yang cukup untuk melakukan perkara-perkara yang tidak dapat kami lakukan dalam kunjungan kami sebelum ini.

Kami keluar dari rumah penginapan UMT untuk bersarapan di sebuah gerai berdekatan lebih kurang pukul 9 pagi. Actually gerai tu dicadangkan oleh ayah King Algebra yang kami temui malam sebelumnya. Menurutnya gerai yang kami pergi tu antara gerai yang paling best kat situ. Lupa pulak kami nama gerai tu. Sampai sahaja digerai tu, kami tak melepaskan peluang untuk menikmati juadah tradisi orang terengganu antaranya nasi dagang ikan aye (tongkol), nasi kuning, laksam dan beberapa kuih tradisi yang kami pun lupa nak tanya apa namanya. Memang ramai orang makan di gerai tu.

Selepas menjamu selera, kami terus ke Pasar Payang untuk membeli belah.Dalam perjalanan ke Pasar Payang, kami menjenguk Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang runtuh baru-baru ini. Nampaknya, kerosakan yang dialami lebih teruk daripada apa yang kami sangka dan lihat di kaca TV. Setibanya di Pasar Payang kami dapati ada satu karnival sedang berlangsung di Dataran Shahbandar yang terletak berhampiran. Kami sempat meronda-ronda di tapak karnival melihat produk-produk IKS yang dijual. Ketika itu majlis perasmian baru sahaja berlangsung dan pelajar-pelajar dari MRSM Kuala Terengganu sedang membuat persembahan gamelan dan diikuti dengan dikir barat. Setelah habis meronda kami terus ke Pasar Payang. Masing-masing banyak juga membeli buahtangan berupa pakaian, barangan kraf mahupun barang makanan untuk dibawa pulang.

Setelah itu kami ke Masjid Kristal di Pulau Wan Man untuk menunaikan solat Zohor. Memang cantik dan selesa masjid ni walaupun agak kecil. Jika dilihat dari Jambatan Sultan Mahmud, memang masjid ini kelihatan seperti kristal sejajar dengan namanya. Ramai juga pelancong yang turut berjemaah bersama kami. Bagaimanapun kami tak masuk ke Taman Tamadun Islam yang menempatkan replika masjid-masjid terkemuka di dunia.

Kami kemudiannya bergerak ke sebuah restoran yang terletak di tepi pantai Rusila. Ini kali kedua kami ke situ untuk menikmati lempeng nyior. Juadah ni memang susah nak dicari di KL. Air tuak (nira) pun ada. Lebih istimewa air tuak ni dihidangkan bersama ais krim. Memang best rasanya. Kalau korang turun ke Terengganu, cuba-cubalah merasa makanan ni semua. Memang berbaloi!huhu

Kami pulang ke rumah penginapan lebih kurang pukul 3 petang. Selepas melelapkan mata dan berehat, kami ke Seberang Takir untuk membeli keropok lekor untuk dibawa pulang lebih kurang pukul 5 petang. Selalunya kami membeli keropok 007 di Marang ataupun di Losong, tapi kali ini kami cuba di tempat baru. Lagipun kami diberitahu keropok Seberang Takir memang tengah top sekarang ni.Dalam perjalanan pulang menuju ke Dataran UMT untuk sound check, kami sempat melalui jalan tepi pantai Gong Badak dan melihat projek menambak pantai yang sedang rancak berjalan dan bangunan Lapangan Terbang Kuala Terengganu yang tersergam indah.

Selepas menunaikan solat isyak kami terus ke Dataran Canseleri UMT untuk membuat persembahan. Kami diberi slot selama satu jam dari pukul 9 hingga 10 malam. Kami menyanyikan 5 buah lagu iaitu Inayah, Demi Cinta Zainab, Rahmat Ujian, Segalanya Milik-Mu dan Layar Keinsafan. Warga UMT memang sporting habis sekaligus menjadikan persembahan kami lebih ceria dan bertenaga. Kami juga menjemput beberapa orang penonton untuk melakukan aktiviti tertentu di atas pentas sebelum kami menghadiahkan cenderamata sebagai tanda terima kasih.Sebilangan penonton yang hadir adalah para pelajar semester satu UMT namun terdapat juga pelajar-pelajar UDM dan Maktab Perguruan Batu Rakit yang turut hadir memberi sokongan. Terima kasih kami ucapkan pada semua. You all memang best!!

Setelah tamat program, kami pulang ke Shah Alam pada malam itu juga dan tiba lebih kurang pukul 4 pagi. Walaupun penat, kembara kami ke Terengganu kali ini memberi seribu satu kenangan manis buat kami. Terima kasih UDM dan UMT. Lain kali boleh la jemput kami lagi ye!

Monday, July 20, 2009

Kembara ke Terengganu: UDM (14 Julai 2009)

Telah lama Mestica tidak turun ke Terengganu untuk membuat persembahan. Kali terakhir adalah setahun yang lepas di UMT semasa program memperingati Al Quds. Ketika itu Mestica beraksi bersama UNIC dan kumpulan kesenian Mahasiswa UMT. Namun kunjungan Mestica kali ini, lebih istimewa kerana kami akan berada di Kuala Terengganu selama 2 hari berturut-turut untuk membuat persembahan di 2 venue berbeza iaitu di Universiti Darul Iman kampus Kusza dan Universiti Malaysia Terengganu.

Rombongan Mestica kali ini turut disertai oleh Waie ( Nasyeed.Com) dan King Algebra. Epul tak dapat bersama kami kerana tidak mendapat pelepasan majikannya. Kami bertolak dari pejabat NC lebih kurang pukul 11.30 pagi dengan Unser milik NC. Kami singgah sebentar di Taman Melati Gombak untuk mengambil Khalil. Dia bertolak dari JB awal pagi itu.Perjalanan mengambil masa lebih kurang 6 jam. Kami berhenti makan tengahari di R&R Gambang untuk makan tengahari sebelum meneruskan perjalanan melalui Jalan Jerangau-Jabor untuk tiba di Kuala Terengganu.

Kami tiba di KT lebih kurang pukul 5.00 petang. Sebaik tiba kami terus ke Masjid UDM untuk solat asar. Oleh sebab kami tidak dapat membuat sound check kerana pentas digunakan untuk pertandingan karaoke maka kami terus ke tempat penginapan kami di UMT. Sebenarnya pihak UDM juga menyediakan penginapan tetapi oleh kerana kami tak mahu berpindah randah maka kami terus saja ke rumah tamu UMT.

Setelah berehat dan bersiap, kami bergerak ke tapak pesta konvo UDM pukul 8.30 malam. Sampai sahaja di pentas, kawasan persembahan masih lengang kerana hujan. Yasin dan Akbar yang akan turut membuat persembahan pada malam itu mengajak kami untuk minum bersama mereka di restoran Dr. Chicken yang terletak bertentangan dengan pintu utama UDM. Dah lama juga sebenarnya kami tak jumpa Yasin dan Akbar jadi banyak juga perkara yang kami sembangkan semasa di restoran itu. Akbar juga memaklum berita gembira beliau dan terus menjemput kami untuk hadir ke majlis perkahwinannya pada bulan 10 nanti.

Selepas mendapat panggilan daripada penganjur, kami terus sahaja ke pentas. Kami disambut mesra oleh pihak penganjur dan terus dibawa ke khemah artis bersebelahan pentas. Konsert dimulakan dengan persembahan daripada 2 kumpulan nasyid UDM. Kemudian Mestica mengambil tempat dengan 3 buah lagu iaitu Nasuha, Hurul Ain dan Puteriku Sayang. Ini adalah kali pertama kami membuat persembahan di Kusza sejak ditubuhkan. Dan kami begitu terharu dengan sambutan yang diberikan. Walaupun dalam keadaan hujan dan padang yang becak, para penonton tetap memenuhi ruang di hadapan pentas. Terima kasih kepada semua yang hadir. You all memang best!

Yasin dan Akbar kemudiannya meneruskan persembahan dengan lagu-lagu popular mereka secara duet. Persembahan mereka bagaimanapun terganggu kerana masalah teknikal namun ianya tidak sedikit pun mencacatkan persembahan mereka. Konsert tamat pada pukul 11 malam namun kami terus berada di situ untk sesi fotograf dan autograf. Selepas menjamu selera di sebuah restoran berdekatan kami pulang ke rumah penginapan lebih kurang pukul 1 pagi.

Saturday, June 27, 2009

Mestica di IKIM.fm 27 Jun 2009


Bersama Mestica malam ini 27 Jun 2009 dalam rancangan Sampaikan Salam di Radio IKIM.fm pukul 10 hingga 12 malam. Ikuti perkembangan terbaru anggota kumpulan Mestica yang akan tampil dengan single terbaru tidak lama lagi.