Sila Klik Di Sini

AKTIVITI MESTICA

Berikut adalah jadual terkini show dan aktiviti Mestica buat masa ini. Jangan lupa untuk bertemu kami di venue-venue berikut:

  • 9 Mac Juri pertandingan Nasyid Nadwah Islamiah IPMA di Kolej MARA Banting pukul 8.30 malam
  • 10 Mac Majlis penutupan Minggu Penghayatan Islam Kolej Ke-9 Universiti Malaya pukul 9.00 malam
  • 24 Mac Roadshow Anugerah Nasyeed.Com di Village Mall Sungai Petani Kedah pukul 2.00 petang
  • 31 Mac Konsert Malam Kesenian Islam bersama Hijjaz dan Mestica di Kuala Langat pukul 8.30 malam
  • 13 April Malam Anugerah Nasyeed.Com di Dewan Muktamar Pusat Islam, KL pukul 8.30 malam
  • 12 Mei walimatul arus Nur Sofea di Kg Parit Buaya, Muar, Johor

Untuk sebarang tempahan bagi urusan persembahan dan sebagainya boleh lah berhubung dengan wakil kami saudara Razin di talian 016-232 1980 atau email di alamatmestica313@gmail.com

Thursday, December 30, 2010

Tahniah Harimau Malaya!


Mestica ingin mengucapkan setinggi-tinggi syabas dan tahniah kepada pasukan bolasepak kebangsaan Malaysia yang telah berjaya membawa pulang Piala Suzuki AFF 2010 sekaligus mengesahkan gelaran sebagai raja baru bolasepak Asia Tenggara. Kejayaan manis ini ternyata mencetus fenomena baru di kalangan rakyat Malaysia untuk kembali mencintai bola sepak tempatan. Aksi bertenaga dan bersungguh-sungguh berjuang demi menjulang negara negara yang dipamerkan skuad harimau malaya harus menjadi inspirasi buat semua anak muda Malaysia untuk mencapai kejayaan dalam lapangan masing-masing. Semoga Allah terus melimpahkan kejayaan buat kejayaan buat skuad negara dalam kejohanan-kejohanan yang akan datang. Amin.. Malaysia Boleh!

p/s: Nantikan kemunculan single terbaru kami yang berjudul Istikharah tidak lama lagi

Wednesday, December 15, 2010

Showcase Mestica @ Pesta P.Pinang 2010

Mestica beraksi (photo by Azrul Amin)

Buat pertama kalinya Mestica dijemput untuk mengadakan persembahan di Pesta Pulau Pinang. Lebih membanggakan kami diberitahu Mestica satu-satunya kumpulan nasyid yang diberi peluang beraksi di pentas utama pada tahun ini. Showcase yang diadakan pada 7 Disember bersempena Maal Hijrah ini telah berlangsung meriah. Respon para penonton yang mungkin penonton yang majoritinya belum pernah menonton persembahan kami juga baik. Epul dan Khalil tidak dapat bersama dalam showcase kali ini namun tempat mereka diambil oleh Asyraf yang juga sessionist kami. Untuk pengetahuan anda, Asyraf juga sedang menyiapkan album solo pertama beliau. Anggota Mestica juga ada menyumbang beberapa buah lagu dalam album tersebut. Dalam showcase yang berlangsung sejam itu, kami telah mendendangkan 8 buah lagu-lagu hits kami termasuk single terbaru kami iaitu Istikharah. Akhir kata, terima kasih kami ucapkan kepada Bro. Najib yang banyak membantu, pihak penganjur yang menjemput kami dan semua teman-teman yang hadir memberi sokongan.

Bermesra bersama si cilik (photo by Azrul Amin)


Suasana meriah di tapak Pesta Pulau Pinang

4 lagu dah Siap!

Dakmie & Along Exist @ Ada Studio

Alhamdulillah proses rakaman album ke-4 kami walaupun agak perlahan progressnya. 4 lagu yang kini dalam proses mixing ialah Cinta, Kasih dan Sifat Rasulullah di studio Ada Exist milik Along Exist di Sri Damansara. Manakala lagu Istikharah pula menjalani proses mixing di Anggerik Studio Shah Alam. Sejurus sebelum proses mixing dibuat, Bro Ramli Rebana telah merakamkan instrumen percussion seperti gendang sunda, udu dan toys bagi lagu Cinta, Kasih dan Sifat Rasulullah. Jadi masih ada 6 lagu untuk disiapkan. Doakan kami semua dapat melakukan yang terbaik agar album ke-4 nanti akan menjadi naskah yang terbaik buat anda!

Epul dan Khalil di Studio Nasyeed.Com

Kita makan dulu!


Tuesday, December 14, 2010

BNM 2010 Melabuhkan Tirai


28 November lepas tamatlah secara rasminya musim Bintang Nasyid Mu'min musim ke-4. Tahun ini venue pertandingan yang dipilih ialah Dewan Panggung Sri, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Melaka. Ianya sebuah auditorium yang cukup selesa dan sangat sesuai dengan penganjuran tahap nasional seperti ini. Walaupun dengan kapasiti lebih kurang 1500 orang, dewan ini tetap penuh sampai ada yang terpaksa duduk di tangga. Memang sambutan yang diterima di luar dugaan. Terima kasih kepada semua keluarga, guru dan sahabat handai yang turut hadir dari jauh dan dekat untuk memberi sokongan kepada peserta pilihan masing-masing.

Lepas jadi juri, kita makan la pulak

YB Dato Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka turut hadir sebagai tetamu kehormat diiringi oleh barisan kepimpinan Jabatan Agama Islam Melaka, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian serta Al Meswak Mu'min Sdn Bhd selaku penganjur utama. Wardina Safiyyah dan Radzlan Jalaludin ( Lan One Faith) pula bertindak sebagai pengacara majlis. Penonton asyik tergelak je dengan celoteh mereka berdua lebih-lebih lagi Radzlan. Wardina pun 'pening' melayan karenahnya. Memang happening habis!hehehe..

Turut menjadi juri selain kami ialah Dakmie dan Abang A.Ali. Mereka ni memang otai dalam bidang seni. Ianya satu penghormatan buat kami apabila digandingkan bersama mereka. Secara umunya prestasi para peserta tahun ini sangat meningkat baik dari sudut kualiti vokal, muzik mahupun showmanship. Kejuaraan tahun ini menjadi milik Negeri Sembilan dan diikuti oleh Selangor di tempat kedua dan Kedah di tempat ketiga. Mereka membawa pulang hadiah wang tunai, sijil beserta hadiah iringan. Sebelum upacara penyampaian hadiah, Mestica telah menyampaikan 2 buah lagu terbaru kami iaitu Istikharah dan Kasih (duet bersama Dakmie). Tahniah kepada Ubat Gigi Mu'min dan semua yang terlibat. Jumpa lagi tahun depan, insya Allah!

Pelancaran Produk Terbaru Mu'min

Pada 30 Okt yang lepas Mestica telah dijemput untuk mengadakan persembahan sempena pelancaran produk terbaru Ubat Gigi Mukmin bertempat di Restoran Sri Melayu KL atas kapasiti kami selaku juri tetap dan duta Bintang Nasyid Mu'min 2010. Turut membuat persembahan menghiburkan tetamu ialah johan BNM Kuala Lumpur dan majlis telah dikendalikan oleh penyampai sensasi Hot FM Kieran. Sempat juga kami berborak panjang dengan Kieran selepas majlis selesai. Masa tu banyak cerita pasal bola je. Maklumlah malam tu kan final Piala Malaysia.


Dalam majlis itu Ubat Gigi Mu'min turut memperkenalkan duta mereka iaitu Wardina Safiyyah. TV advert tentang produk terbaru juga turut disiarkan untuk tontonan para hadirin. Memang class TV ad dia. Nampak eksklusif sejajar dengan imej Mu'min selaku pengeluar ubat gigi halal no 1 negara. Selamat maju jaya diucapkan kepada Ubat Gigi Mu'min!

Tuesday, October 19, 2010

B2B Idulfitri I Luv Islam


Program B2B atau Back To Basic anjuran komuniti I Luv Islam merupakan satu program cukup istimewa pada pandangan kami. Ianya lebih dari sekadar satu perjumpaan suka-suka namun ianya lebih bersifat akademik melalui segmen sharing moments oleh tokoh-tokoh yang dijemput khas serta diserikan dengan hiburan yang sihat. Alhamdulillah Mestica dijemput buat kali kedua untuk menyertai program ini yang diadakan sempena sambutan Idulfitri. Program ini diadakan di perkarangan Karangkraf dan turut dihadiri kakitangan karangkraf termasuklah Pengerusinya Dato' Husammudin Yaacob. Karangkraf turut menaja lokasi manakala Nasyeed.Com pula menaja PA System untuk melicinkan program.


Selain Mestica, Muadz, Finalis Imam Muda dan Dato Husamudin turut menjadi jemputan utama. Mestica, Muadz dan Finalis Imam Muda juga mengalunkan lagu-lagu nasyid untuk menghiburkan tetamu yang hadir. Dato Husam dan Ustaz Asyraf pula menjadi dua tokoh utama yang berkongsi pengalaman kejayaan masing-masing. Kedua-dua cerita mereka sangat menarik dan sesuai dijadikan iktibar dan teladan. Muadz juga sempat berkongsi pengalaman merakamkan album nasyid dalam bahasa tamil bersama Kumpulan Salam yang juga tidak kurang menariknya. Semoga program B2B ini akan dapat diteruskan pada masa-masa yang akan datang.


Malam Memperingati AL Quds Meriah!


Kalau tak silap, ini kali kedua kami dijemput untuk membuat persembahan di Stadium Tertutup Nilai pada tahun ini. Cuma penganjur saja berbeza. Beberapa bulan sebelumnya ISMA menjemput kami menjayakan sebuah konsert bertemakan Palestin bersama Shoutul Harakah dan Daie. Kali ini USIM sendiri yang menjemput kami untuk menjayakan Malam Memperingati Al Quds yang menjadi salah satu agenda sempena pesta konvokesyen.


Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Penontonnya juga sangat sporting dan supportive. Siswa siswi USIM memang best! Kami menyanyikan lagu-lagu popular kami macam Layar Keinsafan, Salahuddin Al Ayyubi, Badar 313, Inayah dan juga single terbaru kami iaitu Istikharah. Di penghujung konsert kami berduet bersama Abg Nazrey Johani melalui lagu berjudul Untukmu Palestin.

Kami nak ucapkan terima kasih kepada USIM kerana sudi menjemput kami untuk menjayakan konsert ini. Tidak dilupakan buat semua penonton yang hadir memberi sokongan dan juga kepada Napi Fikrah yang banyak membantu kami setiap kali berlangsungnya show di USIM. Diharap semua pihak mendapat manfaat daripada apa yang telah dijalankan.

Friday, September 3, 2010

Malam Memperingati Al Quds

Alhamdulillah sekali lagi USIM telah menjemput Mestica untuk membuat persembahan bersempena dengan Malam Memperingati Al Quds pada 25 September 2010 bertempat di Stadium Tertutup Nilai. Kalau sebelum ini kami bersama Shoutul Harokah dan Daie, kali ini kami bersama Abang Nazrey Johani pula. Jadi jangan ketinggalan untuk bertemu kami nanti. Insya Allah kami akan membawa lagu-lagu terbaru dari kami yang bakal dimasukkan dalam album ke-4. Jumpa di sana!

Thursday, September 2, 2010

Ramadhan @ PKNS


Kompleks PKNS Shah Alam tidak pernah ketinggalan untuk menjemput kami mengadakan persembahan di bazar Ramadhannya setiap tahun. Walaupun ramai yang mungkin terlupa dengan kewujudan kami atau tertanya-tanya adakah kami masih aktif, PKNS tak pernah lupakan kami. Terima kasih PKNS.Sejak daripada dulu lagi memang inilah tempatnya yang tidak pernah jemu mengundang artis-artis nasyid saban tahun. Boleh dikatakan kompleks PKNS ini sangat sinonim dengan aktiviti-aktiviti nasyid. Malah pelancaran album Pilihan Terbaik Carta Nasyid IKIM.fm serta Algebra pernah dibuat di sini.

Tahun ini kami berganding dengan Bro Zul Yahya yang bertindak sebagai pengacara. Tahun lepas kami dengan Abg Abon. Celoteh Zul Yahya sahaja pun dah menggamatkan suasana. Kami hanya tambah sedikit perisa sahaja untuk menceriakan para pengunjung. Alhamdulillah persembahan berjalan lancar dan penontonnya sangat sporting walaupun ada yang pertama kali menonton persembahan kami. Cuma yang tak bestnya, khalil tiada bersama kami kerana komitmen kerja di Johor. Kami juga mendendangkan single terbaru kami berjudul Istikharah dan alhamdulillah sambutan yang diberikan juga agak baik walaupun masih baru kedengaran di telinga penonton. Haa.. kepada sesiapa yang nak dengar single terbaru kami ni kenalah hadir ke persembahan kami di venue seterusnya. Apa? Tak tahu kat mana? Jadual kat atas tu kan ada... Selamat Berpuasa!

Saturday, August 28, 2010

Selesai Sudah Saringan BNM


Alhamdulillah saringan peringkat negeri Bintang Nasyid Mu'min telah berakhir dengan jayanya pada 7 Ogos yang lalu. 3 negeri terakhir yang menjalani saringan ialah Johor, Kedah dan Perlis. Mestica sebagaimana biasa menjalankan tugas dan tanggungjawab kami untuk memilih pasukan terbaik bagi mewakili negeri masing-masing ke peringkat kebangsaan. Berikut sedikit ulasan bagi setiap venue ingin kami kongsikan di sini buat tatapan teman-teman sekalian.


BNM Johor ( 24 Julai 2010)
BNM Johor telah berlangsung meriah di Dewan Besar Pusat Islam Iskandar, Johor Bharu. Ianya lebih istimewa daripada siri-siri saringan sebelum ini kerana BNM Johor telah menjadi sebahagian daripada acara Festival Nasyid Negeri Johor. BNM dilaksanakan pada sebelah petang manakala pertandingan nasyid bagi kategori moden dan tradisi untuk kategori dewasa.Kami juga sempat menonton perjalanan pertandingan tersebut yang mana juga bertujuan untuk mencari wakil negeri johor ke festival peringkat kebangsaan yang dianjurkan oleh JAKIM. Cuma kami jadi penonton je la.. huhu


Secara umumnya prestasi peserta BNM Johor juga menunjukkan peningkatan berbanding tahun lepas. Semakin banyak pasukan yang menunjukkan mutu persembahan yang berkualiti dan ini adalah satu petanda yang sangat baik bagi perkembangan irama nasyid khususnya di negeri johor. SK Polis Kem Batu 26, Kulai Jaya telah muncul sebagi juara bagi negeri Johor.Tempat kedua pula dimenangi oleh SRA Bersepadu Segamat manakala tempat ketiga disandang oleh SRA Bersepadu Keluang.

BNM Kedah ( 31 Julai 2010)
Saringan BNM Kedah telah berlangsung meriah di Giant Souq Al Bukhary Alor Star. Selain daripada ditonton oleh para penyokong yang dibawa khusus oleh pasukan-pasukan bertanding, ianya juga menarik minat para penganjung kompleks membeli belah tersebut. Walau bagaimanapun, perjalanan program sedikit terganggu dengan masalah kualiti sistem bunyi yang disediakan. Kalau nak ditanya sebab berlakunya perkara ini, rasanya terlalu panjang untuk kami ceritakan di sini. Namun masalah yang timbul tidak menjejaskan tugas kami sebagai juri.
Kumpulan An Nur dari SK Kuala Pegang, Baling telah muncul sebagai johan sekaligus terpilih mewakili negeri Kedah. Ironinya selepas majlis selesai, kami dimaklumkan bahawa kumpulan ini merupakan pemenang kategori vokalis terbaik pada pertandingan nasyid sekolah-sekolah peringkat kebangsaan 2009. Tempat kedua pula dimenangi oleh Sodiqul Amin dari SRI Alor Star dan kumpulan Simfoni dari SRI Darul Aman, Alot Star mendapat tempat ketiga.

BNM Perlis 7 Ogos 2010
Perlis adalah destinasi terakhir dalam siri jelajah saringan BNM kali ini. BNM Perlis telah berlangsung dengan jayanya di auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Perlis. Kebetulan pada hari yang sama pihak Universiti Malaysia Perlis juga mengadakan majalis konvokesyen pada hari yang sama. Jadi kami terpaksa menempuh kesesakan jalanraya yang agak teruk untuk sampai ke situ kerana lokasi kedua-dua majlis yang agak berdekatan.

Shoutul Hadi dari SK Kayang, Kuala Perlis telah muncul johan diikuti oleh Fatayat Al Imtiyaaz dari SK Kuala Perlis di tempat kedua. Tempat ketiga pula disandang oleh SK Felda Rimba Mas, Padang Besar. Prestasi yang ditunjukkan oleh para peserta negeri Perlis juga amat baik dan membuktikan bahawa cabaran mereka di peringkat kebangsaan nanti juga tidak boleh dipandang enteng oleh negeri-negeri lain.

Pertandingan Bintang Nasyid Mu'min peringkat kebangsaan dijangka berlangsung pada 28 November 2010. Namun lokasinya masih belum dipilih serta dalam proses perbincangan antara penganjur dan para penaja. Insya Allah selepas Idulfitri nanti pihak penganjur akan mengumumkan lokasi dan tarikh yang sebenar. Selamat maju jaya diucapkan semua adik-adik yang bakal bertanding di peringkat kebangsaan nanti. Good Luck!




Thursday, July 8, 2010

Konsert Demimu Al Aqsa

Saksikan kami bersama Shautul Harokah, Daie, Dr Lim Swee Tin dan Nisah Haron dalam Konsert Demimu AL Aqsa pada 17 Julai ini di Stadium Tertutup Nilai. Insya Allah jika tidak ada aral melintang, kami akan nyanyikan single terbaru kami berjudul Istikharah buat pertama kami di khalayak ramai. So kalau nak dengar lagu tu macam mana, kena la datang. Datang jangan tak datang!

Tuesday, July 6, 2010

BNM Hampir Ke Penghujung

Bro Faizal ( Pengarah Program) bersama Razin & Kerol

Alhamdulillah, pertandingan Bintang Nasyid Mu'min kini kian menghampiri penghujungnya. Setakat ini kami telah menjelajah ke 8 negeri bermula dengan Kuala Lumpur diikuti dengan Melaka, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Pahang, Perak, Kelantan, Terengganu dan yang terkini Selangor. Selepas ini kami akan menjelajah ke 3 lagi lokasi iaitu Johor, Kedah dan Perlis sebelum peringkat akhir kebangsaan pada bulan November nanti.

Bintang Nasyid Mu'min Best!!

Bintang Nasyid Mu'min pada tahun ini telah memasuki Musim ke-4. Sejak musim kedua dilaksanakan pada tahun 2008, Mestica telah diberi amanah oleh Al Meswak Mu'min Sdn Bhd, pengeluar Ubat Gigi Mu'min selaku penganjur utama program untuk menjadi juri tetap sekaligus mencari pasukan-pasukan nasyid bawah 12 tahun terbaik dari seluruh semenanjung. Kali ini juga, Mestica juga secara rasminya telah dilantik sebagai duta program. Selain daripada menjadi juri, kami juga bertanggungjawab untuk turut menjadi jurucakap dalam siri mesyuarat atau pertemuan dengan pihak ketiga yang turut terlibat menjayakan program ini.

Terhibur dengan aksi peserta

Di sini kami akan mengutarakan sedikit ulasan ringkas prestasi peserta bagi setiap negeri yang telah kami jelajahi. Diharap ulasan ini serba sedikit dapat membantu dan memberi gambaran prestasi para peserta sebagai persediaan menghadapi pertandingan peringkat kebangsaan.

Persembahan daripada juri

Kuala Lumpur ( 13 Mac 2010 )
Majoriti kumpulan yang menyertai BNM KL menggunakan minus 2 dalam persembahan mereka. Seingat kami hanya ada satu kumpulan sahaja yang menggunakan percussion. Perkara ini boleh dikatakan advanced kerana lazimnya dalam pertandingan nasyid peringkat sekolah jarang sekali minus 2 digunakan. Bukan hanya sebab syarat tapi sebab kos nak buat minus 2 ni agak tinggi. Namun menggunakan minus 2 memerlukan kemahiran untuk menyanyi dengan 'key' yang betul. Jika tidak, penyanyi akan menyanyi dalam keadaan yang sumbang atau off key. Dan malangnya itulah yang berlaku kepada majoriti peserta di sini.

Pemenang BNM Melaka

Melaka ( 10 April 2010 )
Di Melaka prestasi pesertanya boleh dikatakan pada tahap yang sederhana. Namun jika dibandingkan dengan kualiti peserta pada musim lepas, peserta kali ini lebih menyerlah dan bersedia. Namun masih banyak ruang untuk diperbaiki demi membawa cabaran sengit negeri Melaka di peringkat kebangsaan nanti.

Pukul dik! Jangan tak pukul..

Negeri Sembilan ( 24 April 2010)
Para peserta Negeri Sembilan menunjukkan persembahan yang boleh dipuji. Malah ada kumpulan yang mampu menyanyi secara berharmoni dengan sangat baik. Walau bagaimanapun kumpulan-kumpulan yang menduduki tempat terbaik mempunyai kekuatan yang tidak seimbang. Ada kumpulan yang mempunyai vokalis utama yang bermutu namun persembahan penyanyi latar mengecewakan dan begitulah sebaliknya. Nasyid merupakan pertandingan secara berkumpulan maka adalah penting setiap ahli kumpula
n memainkan peranan masing-masing dengan baik.

Sebelum bertanding, kena dengar taklimat dulu

Pulau Pinang ( 7 Mei 2010 )
Pulau Pinang juga mempunyai pasukan-pasukan nasyid yang bagus. Namun kami masih tercari-cari vokalis utama yang benar-benar berkualiti. Ada kalanya pemilihan lagu yang tidak sesuai menyebabkan peserta gagal menyerlahkan potensi dan kekuatan sebenar mereka. Kebanyakan kumpulan lebih cenderung untuk membawa lagu yang 'mudah' untuk dinyanyikan bagi mengelakkan kesilapan atau kelemahan vokal terserlah. Namun harus diingat lagu yang 'mudah' juga boleh menyebabkan pungutan markah terjejas kerana vokal peserta tidak benar-benar teruji.

Camne nak pilih pemenang ni? Semua hebat!

Pahang ( 22 Mei 2010 )
Pahang merupakan negeri yang diwakili oleh juara bertahan BNM 2 musim berturut-turut. Dengan kehadiran vokalis yang sama, persembahan SK Bandar Pusat Jengka memang menyengat walaupun penyanyi latar menunjukkan penurunan prestasi kerana dibarisi orang-orang baru. Lagu yang dipilih juga kurang menyengat berbanding lagu terdahulu. Mereka disaing hebat oleh pasukan yang mewakili daerah-daerah lain namun kualiti yang ada pada vokalis mereka memisahkan mereka dengan pasukan-oasukan lain.

Penonton yang membanjiri BNM Perak

Perak ( 29 Mei 2010 )
Walaupun perjalanan program terganggu seketika kerana cuaca buruk, peserta BNM Perak berjaya melaksanakan persembahan mereka dengan sempurna. Namun kumpulan yang menang perlu meningkatkan lagi persediaan mereka pada tahap tertinggi supaya mampu memberi saingan kepada peserta lain di peringkat kebangsaan nanti.

Adik-adik menyanyilah dengan bersungguh-sungguh ye!

Kelantan ( 19 Jun 2010 )
Berdasarkan pertandingan yang lepas, Kelantan agak ketinggalan dari sudut kualiti peserta namun kali ini peserta-peserta di negeri ini telah menunjukkan peningkatan yang membanggakan. Namun terdapat jurang yang agak besar antara pasukan terbaik dengan kumpulan-kumpulan lain. Ini mungkin disebabkan oleh kekurangan pendedahan terhadap para pelajar yang terlibat mahupun jurulatih itu sendiri.

Celoteh Pyan Saujana selaku MC menggamatkan suasana

Terengganu ( 26 Jun 2010 )
Terengganu mempunyai masalah jurang antara kumpulan yang hampir sama dengan Kelantan. Maka dengan itu sebagai langkah awal, kumpulan-kumpulan yang gagal ke peringkat kebangsaan boleh menjadikan kumpulan yang mendapat johan BNM sebagai benchmark bagi mereka untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi pertandingan-pertandingan akan datang.

Aksi juara BNM Selangor

Selangor ( 3 Julai 2010)
Selangor merupakan negeri yang seringkali terkehadapan berbanding negeri lain dari sudut kualiti kumpulan-kumpulan nasyid. Ini kerana kebanyakan daripada mereka mempunyai access yang agak mudah terhadap jurulatih nasyid dari kalangan penasyid professional yang majoritinya berpengkalan di lembah klang. Juara BNM Selangor punya kekuatan dari sudut penghayatan dan feel penyanyinya. Jarang sekali kami temui penyanyi kanak-kanak yang mampu menyanyi dengan penghayatan yang tinggi serta menyentuh hati pendengarnya. Ini kelainan mereka berbanding rakan-rakan mereka dari negeri lain.

Nasyeed.Com yang diamanahkan sebagai pelaksana acara

Selepas ini, kami akan ke Johor sebagai lokasi BNM yang ke 9. Kami doakan para peserta di johor akan menunjukkan prestasi yang baik. Wakil daripada johor pernah mendapat tempat ke tiga di peringkat kebangsaan.

Bergambar bersama Maskot Perpustakaan Awam Selangor di BNM Selangor

Sunday, March 28, 2010

Malam Nur Mahabbah Berlangsung Meriah!

26 Mac lepas, Mestica telah dijemput oleh SMKA Baling, Kedah bersama-sama Far East untuk menjayakan Malam Nur Mahabbah di Dewan Utama sekolah tersebut. Konsert yang diadakan 2 tahun sekali ini diadakan dengan persiapan yang rapi dan tersusun. Kami kagum melihat kesungguhan adik-adik AJK Konsert yang begitu komited melaksanakan tugas masing-masing. Dewan tempat konsert telah dihias rapi dan layanan yang diberikan kepada kami juga cukup mesra. Terharu kami dibuatnya. Petang sebelum konsert selepas sound check kami dijamu dengan juadah makan malam yang enak. Antara lauk yang paling best bagi kami tentunya ikan pekasam yang jarang-jarang sekali ditemui di KL. Sedap dia tu sampai Azwan Far East bungkus bawak balik la..hehehe...

Bergambar dengan adik-adik Institusi Perguruan Tuanku Bainun ( Jauh depa mai dari Bukit Mertajam )

Kami ke Baling sebenarnya secara berasingan. Khairul bertolak awal ke Kedah seawal hari Rabu bersama isteri dan anakanda tercinta untuk menziarahi ayah dan maknya di Guar. Razin pula bersama-sama Bro Faizal (Mu'min) dan Bro Syaarie ( Nasyeed.Com) bergerak ke utara pada hari yang sama untuk menghadiri beberapa siri mesyuarat sebagai persiapan Bintang Nasyid Mu'min bagi negeri-negeri di utara semenanjung. Khairul turut hadir menyertai mesyuarat yang diadakan di Perlis.

Sebahagian adik-adik yang mengambil gambar kami di pentas

Dalam konsert tersebut, Mestica telah menyanyikan 2 buah lagu iaitu Siratunnabi, Destinasi Cinta, Salahuddin Al Ayyubi dan Layar Keinsafan yang turut diselangi dengan cabutan bertuah. Bro Faizal (Mu'min) telah bermurah hati untuk turut menyumbang produk berupa Ubat Gigi Mu'min sebagai hadiah tambahan kepada para hadirin yang bertuah. Selepas selesai persembahan kami, kumpulan nasyid tuan rumah pula mengambil tempat dengan persembahan yang cukup menarik. Kemudian Far East pula menghangatkan lagi konsert dengan lagu-lagu hits mereka. Sebagai finale, Mestica dan Far East telah bergabung mendendangkan lagu Kerana Cinta sekaligus menamatkan Malam Nur Mahabbah kali ini. Terima kasih kami ucapkan kepada pihak sekolah yang sudi menjemput kami serta atas layanan mesra yang diberi. Semoga program sebegini akan terus dianjurkan pada masa-masa akan datang. Jemputlah kami lagi ye! :)

Khalil Tunaikan Umrah

Khalil Khusairi yang juga anggota kumpulan Mestica kini berada di tanah suci bersama anggota keluarganya bagi menunaikan ibadah umrah. Dia berlepas ke tanah suci pada 23 Mac yang lalu dan akan berada di sana selama 2 minggu. Oleh sebab itu beliau tidak bersama-sama Mestica ketika mengadakan konsert di SMKA Baling pada 26 Mac yang lepas. Sama-sama kita doakan agar dia dan ahli keluarga dapat menunaikan ibadah umrah dengan sempurna. Amin..

Thursday, March 11, 2010

Rakaman lagu "Istikharah"

Bukan senang nak buat lagu jadi best tau..

6 Mac lepas, kami telah meneruskan rakaman album ke-4 dengan merakamkan lagu yang berjudul Istikharah di studio Nasyeed.Com Shah Alam. Lagu hasil ciptaan Jogho dan lirik oleh Mass Mohamad ini merupakan lagu kedua yang dirakamkan selepas Kasih ciptaan sepenuhnya Dakmie. Proses rakaman album ke-4 ini mungkin memakan masa yang lebih kerana kami hanya dapat masuk ke studio pada hujung minggu. Dengan Khalil yang bekerja di JB dan Epul, Kerol dan Razin pula punya komitmen kerja yang padat maka kami hanya dapat memanfaatkan waktu hujung minggu dan cuti umum.

"Lama sangatlah diorang recording baik layan facebook jap.." (agaknya itulah kata lyricist lagu kami, Mass yang turut turun bagi support)

Tapi takpelah, itu adalah cabaran yang perlu kami hadapi demi menyiapkan naskah terbaru karya kami untuk sajian halwa telinga teman-teman yang tidak jemu-jemu menyokong kami selama ini. Hmm..proses rakaman alhamdulillah berjalan lancar dengan bantuan King Algebra sebagai sound engineer di sebalik keletihan masing-masing. Rakaman lagu Istikharah sudah hampir 80 peratus siap. Untuk sessi akan datang kami akan lebih fokus kepada add lips dan juga tambahan untuk backing vocal. Insya Allah lagu ini juga akan mendapat sentuhan tiupan seruling oleh Bro Mohar daripada kumpulan Mohram.

Recording santai gaya Mestica ( Hai kain pelekat je bang?)

Sunday, February 28, 2010

Pre Production Album ke 4 Sudah Bermula

Epul, Dakmie dan Kerol @ NC Studio

Mestica secara rasminya telah memulakan proses pembikinan album ke 4. Ketika artikel ini ditulis kami berada di Studio Nasyeed.Com Shah Alam untuk menjalankan proses pre production. Hari ini lebih menjurus kepada proses preview lagu-lagu yang telah dipilih dan menyusun muzik untuk lagu Epul dengan bantuan Dakmie. Insya Allah sepanjang bulan Mac kami akan banyak menghabiskan masa di studio kerana album ke-4 Mestica dijangka akan berada di pasaran pada bulan 4. Tunggu...!!!

Ahli Baru Mestica?

Razin, Zaidi Wildan dan Asyraf

Selepas menyaksikan siaran langsung program Suara Siswa di TV1 pada hari Selasa yang lepas, ramai yang bertanya kepada kami adakah Mestica telah bertukar ahli? Mungkin mereka melihat ade 2 muka baru yang menyanyi bersama Razin dan Epul dalam program tersebut. Mestica sebenarnya diundang oleh penerbit Suara Siswa, Bro Shah sebagai artis jemputan bersempena sambutan Maulidurrasul yang turut membicarakan topik berkenaan keperibadian unggul.

Mengikut perancangan awal Mestica akan hadir bertiga tanpa Khalil yang berada di Johor kerana komitmen kerja. Namun pada pagi tersebut Khairul pula terpaksa pulang ke Johor kerana bapa saudaranya meninggal dunia. Untuk mengisi kekosongan tersebut Mestica telah mengundang Asyraf (sessionist Mestica) dan Bro Zaidi Wildan di saat akhir. Nasib baiklah mereka kebetulan free waktu tu. Kalau tak terpaksalah Mestica berdua saja malam tu.

Bersama Dato Dr Fadhilah Kamsah selepas program

Dalam siaran langsung itu, Mestica telah mendendangkan lagu Layar Keinsafan pada awal program dan memimpin selawat bersama-sama penonton dan panelis di penghujung program.Dah lama sebenarnya kami tak bersiaran langsung. Namun alhamdulillah semuanya berjalan lancar walaupun berlaku sedikit masalah pada peringkat awal. Terima kasih kepada semua yang menonton dan memberi sokongan kepada program tersebut.

Friday, January 1, 2010

Selamat Tahun Baru 2010

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Di kesempatan ini Mestica ingin mengucapkan Selamat Menyambut tahun baru 2010 kepada semua teman-teman di luar sana yang tidak jemu-jemu menyokong perjuangan kami selama ini. 2010 merupakan tahun ke-7 kami berada dalam industri muzik dan alahamdulillah kami masih tega bertahan di sebalik kesuraman industri muzik dewasa ini berkat doa dan dokongan teman-teman semua. Lebih istimewa lagi tahun 2010 akan menjanjikan tampilnya album ke-4 Mestica yang dijangka akan berada di pasaran menjelang April. Album ini merupakan album pertama yang bakal kami terbitkan sendiri di bawah label Mestica Production dengan kerjasama Nasyeed.Com. Proses pengumpulan material masih dilakukan dan proses rakaman dijangkan bermula dalam bulan januari 2010.



Salah satu lagu yang bakal termuat dalam album terbaru kami