Hari kedua kami di Terengganu memberi ruang yang selesa untuk kami berehat dan bersiar-siar di sekitar Kuala Terengganu. Bukan selalu kami dapat peluang macam ni. Selalunya kami akan bertolak pagi dan sampai lewat petang sebelum show pada waktu malam. Sebaik saja habis show kami akan terus pulang. Tapi kami punya masa yang cukup untuk melakukan perkara-perkara yang tidak dapat kami lakukan dalam kunjungan kami sebelum ini.
Kami keluar dari rumah penginapan UMT untuk bersarapan di sebuah gerai berdekatan lebih kurang pukul 9 pagi. Actually gerai tu dicadangkan oleh ayah King Algebra yang kami temui malam sebelumnya. Menurutnya gerai yang kami pergi tu antara gerai yang paling best kat situ. Lupa pulak kami nama gerai tu. Sampai sahaja digerai tu, kami tak melepaskan peluang untuk menikmati juadah tradisi orang terengganu antaranya nasi dagang ikan aye (tongkol), nasi kuning, laksam dan beberapa kuih tradisi yang kami pun lupa nak tanya apa namanya. Memang ramai orang makan di gerai tu.
Selepas menjamu selera, kami terus ke Pasar Payang untuk membeli belah.Dalam perjalanan ke Pasar Payang, kami menjenguk Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang runtuh baru-baru ini. Nampaknya, kerosakan yang dialami lebih teruk daripada apa yang kami sangka dan lihat di kaca TV. Setibanya di Pasar Payang kami dapati ada satu karnival sedang berlangsung di Dataran Shahbandar yang terletak berhampiran. Kami sempat meronda-ronda di tapak karnival melihat produk-produk IKS yang dijual. Ketika itu majlis perasmian baru sahaja berlangsung dan pelajar-pelajar dari MRSM Kuala Terengganu sedang membuat persembahan gamelan dan diikuti dengan dikir barat. Setelah habis meronda kami terus ke Pasar Payang. Masing-masing banyak juga membeli buahtangan berupa pakaian, barangan kraf mahupun barang makanan untuk dibawa pulang.
Setelah itu kami ke Masjid Kristal di Pulau Wan Man untuk menunaikan solat Zohor. Memang cantik dan selesa masjid ni walaupun agak kecil. Jika dilihat dari Jambatan Sultan Mahmud, memang masjid ini kelihatan seperti kristal sejajar dengan namanya. Ramai juga pelancong yang turut berjemaah bersama kami. Bagaimanapun kami tak masuk ke Taman Tamadun Islam yang menempatkan replika masjid-masjid terkemuka di dunia.
Kami kemudiannya bergerak ke sebuah restoran yang terletak di tepi pantai Rusila. Ini kali kedua kami ke situ untuk menikmati lempeng nyior. Juadah ni memang susah nak dicari di KL. Air tuak (nira) pun ada. Lebih istimewa air tuak ni dihidangkan bersama ais krim. Memang best rasanya. Kalau korang turun ke Terengganu, cuba-cubalah merasa makanan ni semua. Memang berbaloi!huhu
Kami pulang ke rumah penginapan lebih kurang pukul 3 petang. Selepas melelapkan mata dan berehat, kami ke Seberang Takir untuk membeli keropok lekor untuk dibawa pulang lebih kurang pukul 5 petang. Selalunya kami membeli keropok 007 di Marang ataupun di Losong, tapi kali ini kami cuba di tempat baru. Lagipun kami diberitahu keropok Seberang Takir memang tengah top sekarang ni.Dalam perjalanan pulang menuju ke Dataran UMT untuk sound check, kami sempat melalui jalan tepi pantai Gong Badak dan melihat projek menambak pantai yang sedang rancak berjalan dan bangunan Lapangan Terbang Kuala Terengganu yang tersergam indah.
Selepas menunaikan solat isyak kami terus ke Dataran Canseleri UMT untuk membuat persembahan. Kami diberi slot selama satu jam dari pukul 9 hingga 10 malam. Kami menyanyikan 5 buah lagu iaitu Inayah, Demi Cinta Zainab, Rahmat Ujian, Segalanya Milik-Mu dan Layar Keinsafan. Warga UMT memang sporting habis sekaligus menjadikan persembahan kami lebih ceria dan bertenaga. Kami juga menjemput beberapa orang penonton untuk melakukan aktiviti tertentu di atas pentas sebelum kami menghadiahkan cenderamata sebagai tanda terima kasih.Sebilangan penonton yang hadir adalah para pelajar semester satu UMT namun terdapat juga pelajar-pelajar UDM dan Maktab Perguruan Batu Rakit yang turut hadir memberi sokongan. Terima kasih kami ucapkan pada semua. You all memang best!!
Setelah tamat program, kami pulang ke Shah Alam pada malam itu juga dan tiba lebih kurang pukul 4 pagi. Walaupun penat, kembara kami ke Terengganu kali ini memberi seribu satu kenangan manis buat kami. Terima kasih UDM dan UMT. Lain kali boleh la jemput kami lagi ye!
No comments:
Post a Comment