Bro Faizal ( Pengarah Program) bersama Razin & Kerol
Alhamdulillah, pertandingan Bintang Nasyid Mu'min kini kian menghampiri penghujungnya. Setakat ini kami telah menjelajah ke 8 negeri bermula dengan Kuala Lumpur diikuti dengan Melaka, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Pahang, Perak, Kelantan, Terengganu dan yang terkini Selangor. Selepas ini kami akan menjelajah ke 3 lagi lokasi iaitu Johor, Kedah dan Perlis sebelum peringkat akhir kebangsaan pada bulan November nanti.
Bintang Nasyid Mu'min Best!!
Bintang Nasyid Mu'min pada tahun ini telah memasuki Musim ke-4. Sejak musim kedua dilaksanakan pada tahun 2008, Mestica telah diberi amanah oleh Al Meswak Mu'min Sdn Bhd, pengeluar Ubat Gigi Mu'min selaku penganjur utama program untuk menjadi juri tetap sekaligus mencari pasukan-pasukan nasyid bawah 12 tahun terbaik dari seluruh semenanjung. Kali ini juga, Mestica juga secara rasminya telah dilantik sebagai duta program. Selain daripada menjadi juri, kami juga bertanggungjawab untuk turut menjadi jurucakap dalam siri mesyuarat atau pertemuan dengan pihak ketiga yang turut terlibat menjayakan program ini.
Terhibur dengan aksi peserta
Di sini kami akan mengutarakan sedikit ulasan ringkas prestasi peserta bagi setiap negeri yang telah kami jelajahi. Diharap ulasan ini serba sedikit dapat membantu dan memberi gambaran prestasi para peserta sebagai persediaan menghadapi pertandingan peringkat kebangsaan.
Persembahan daripada juri
Kuala Lumpur ( 13 Mac 2010 )
Majoriti kumpulan yang menyertai BNM KL menggunakan minus 2 dalam persembahan mereka. Seingat kami hanya ada satu kumpulan sahaja yang menggunakan percussion. Perkara ini boleh dikatakan advanced kerana lazimnya dalam pertandingan nasyid peringkat sekolah jarang sekali minus 2 digunakan. Bukan hanya sebab syarat tapi sebab kos nak buat minus 2 ni agak tinggi. Namun menggunakan minus 2 memerlukan kemahiran untuk menyanyi dengan 'key' yang betul. Jika tidak, penyanyi akan menyanyi dalam keadaan yang sumbang atau off key. Dan malangnya itulah yang berlaku kepada majoriti peserta di sini.
Pemenang BNM Melaka
Melaka ( 10 April 2010 )
Di Melaka prestasi pesertanya boleh dikatakan pada tahap yang sederhana. Namun jika dibandingkan dengan kualiti peserta pada musim lepas, peserta kali ini lebih menyerlah dan bersedia. Namun masih banyak ruang untuk diperbaiki demi membawa cabaran sengit negeri Melaka di peringkat kebangsaan nanti.
Pukul dik! Jangan tak pukul..
Negeri Sembilan ( 24 April 2010)
Para peserta Negeri Sembilan menunjukkan persembahan yang boleh dipuji. Malah ada kumpulan yang mampu menyanyi secara berharmoni dengan sangat baik. Walau bagaimanapun kumpulan-kumpulan yang menduduki tempat terbaik mempunyai kekuatan yang tidak seimbang. Ada kumpulan yang mempunyai vokalis utama yang bermutu namun persembahan penyanyi latar mengecewakan dan begitulah sebaliknya. Nasyid merupakan pertandingan secara berkumpulan maka adalah penting setiap ahli kumpula
n memainkan peranan masing-masing dengan baik.
Sebelum bertanding, kena dengar taklimat dulu
Pulau Pinang ( 7 Mei 2010 )
Pulau Pinang juga mempunyai pasukan-pasukan nasyid yang bagus. Namun kami masih tercari-cari vokalis utama yang benar-benar berkualiti. Ada kalanya pemilihan lagu yang tidak sesuai menyebabkan peserta gagal menyerlahkan potensi dan kekuatan sebenar mereka. Kebanyakan kumpulan lebih cenderung untuk membawa lagu yang 'mudah' untuk dinyanyikan bagi mengelakkan kesilapan atau kelemahan vokal terserlah. Namun harus diingat lagu yang 'mudah' juga boleh menyebabkan pungutan markah terjejas kerana vokal peserta tidak benar-benar teruji.
Camne nak pilih pemenang ni? Semua hebat!
Pahang ( 22 Mei 2010 )
Pahang merupakan negeri yang diwakili oleh juara bertahan BNM 2 musim berturut-turut. Dengan kehadiran vokalis yang sama, persembahan SK Bandar Pusat Jengka memang menyengat walaupun penyanyi latar menunjukkan penurunan prestasi kerana dibarisi orang-orang baru. Lagu yang dipilih juga kurang menyengat berbanding lagu terdahulu. Mereka disaing hebat oleh pasukan yang mewakili daerah-daerah lain namun kualiti yang ada pada vokalis mereka memisahkan mereka dengan pasukan-oasukan lain.
Penonton yang membanjiri BNM Perak
Perak ( 29 Mei 2010 )
Walaupun perjalanan program terganggu seketika kerana cuaca buruk, peserta BNM Perak berjaya melaksanakan persembahan mereka dengan sempurna. Namun kumpulan yang menang perlu meningkatkan lagi persediaan mereka pada tahap tertinggi supaya mampu memberi saingan kepada peserta lain di peringkat kebangsaan nanti.
Adik-adik menyanyilah dengan bersungguh-sungguh ye!
Kelantan ( 19 Jun 2010 )
Berdasarkan pertandingan yang lepas, Kelantan agak ketinggalan dari sudut kualiti peserta namun kali ini peserta-peserta di negeri ini telah menunjukkan peningkatan yang membanggakan. Namun terdapat jurang yang agak besar antara pasukan terbaik dengan kumpulan-kumpulan lain. Ini mungkin disebabkan oleh kekurangan pendedahan terhadap para pelajar yang terlibat mahupun jurulatih itu sendiri.
Celoteh Pyan Saujana selaku MC menggamatkan suasana
Terengganu ( 26 Jun 2010 )
Terengganu mempunyai masalah jurang antara kumpulan yang hampir sama dengan Kelantan. Maka dengan itu sebagai langkah awal, kumpulan-kumpulan yang gagal ke peringkat kebangsaan boleh menjadikan kumpulan yang mendapat johan BNM sebagai benchmark bagi mereka untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi pertandingan-pertandingan akan datang.
Aksi juara BNM Selangor
Selangor ( 3 Julai 2010)
Selangor merupakan negeri yang seringkali terkehadapan berbanding negeri lain dari sudut kualiti kumpulan-kumpulan nasyid. Ini kerana kebanyakan daripada mereka mempunyai access yang agak mudah terhadap jurulatih nasyid dari kalangan penasyid professional yang majoritinya berpengkalan di lembah klang. Juara BNM Selangor punya kekuatan dari sudut penghayatan dan feel penyanyinya. Jarang sekali kami temui penyanyi kanak-kanak yang mampu menyanyi dengan penghayatan yang tinggi serta menyentuh hati pendengarnya. Ini kelainan mereka berbanding rakan-rakan mereka dari negeri lain.
Nasyeed.Com yang diamanahkan sebagai pelaksana acara
Selepas ini, kami akan ke Johor sebagai lokasi BNM yang ke 9. Kami doakan para peserta di johor akan menunjukkan prestasi yang baik. Wakil daripada johor pernah mendapat tempat ke tiga di peringkat kebangsaan.
Bergambar bersama Maskot Perpustakaan Awam Selangor di BNM Selangor
No comments:
Post a Comment